Berita

RCI Sabah, RCI terburuk dalam sejarah Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Adalah tidak keterlaluan untuk menggambarkan bahawa Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah adalah yang terburuk dalam sejarah negara.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, kandungan RCI yang dibentangkan Rabu lalu itu sangat mengecewakan, bukan sahaja kepada penduduk di Sabah, malah rakyat di seluruh Malaysia.

“Kerajaan seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu, bagi sebuah peristiwa yang bersejarah apabila menghalang kehadiran Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu Jimmy Wong, ADUN Kepayan Edwin Bosi, bekas Senator Maijol Mahap dan juga wakil-wakil NGO

“Malah, tindakan menghalang kehadiran wakil-wakil rakyat itu jelas menggambarkan ketakutan Ketua Setiausaha Tan Seri Ali Hamsa dan Peguam Negara Tan Seri Abdul Gani Patail untuk menjawab soalan-soalan yang dibangkitan, ” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Selain itu kata Kit Siang, takrif ‘RCI terburuk dalam sejarah Malaysia’ itu telah dibuktikan lebih awal, apabila pembentangannya lewat lebih enam bulan, walaupun telah diserahkan kepada Yang di Pertuan Agong pada 14 Mei lalu.

“Ini juga sebabnya, mengapa Laporan RCI tidak dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan,” ujar Kit Siang.

Tambah Kit Siang, sekiranya RCI tersebut dibentangkan sebelum pilihanraya umum ke-13 Mei tahun lalu, sudah tentu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional telah ‘ditendang keluar’ dari Putrajaya.

“Sepatutnya, Perdana Menteri sendiri berada di Kota Kinabalu dan melancarkan RCI, melainkan jika dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa laporan itu akan menjadi ‘bencana’.

“Jelas sekali pihak berkuasa tahu bahawa Laporan RCI  itu akan menjadi ‘bencana’, kata Kit Siang.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan kebimbangan, berdasarkan hasil yang dibentangkan ini RCI telah diturun-taraf, kepada sebuah Suruhanjaya Siasatan tanpa ‘Diraja’.

“Dengan penuh kepercayaan rakyat Sabah berharap Laporan RCI menyediakan suatu penyelesaian muktamad kepada masalah 40 tahun di negeri mereka.

“Malangnya, ia hanyalah menjadi sebuah ‘kekecewaan segala kekecewaan’, kata Kit Siang. – Roketkini.com