Berita

Umno pupuk rasa tak selamat, ketegangan kaum untuk kekal kuasa

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyarankan orang ramai tidak termakan dengan taktik UMNO yang berterusan menggunakan perkauman demi melangsungkan agenda mereka untuk terus berkuasa.

Kata Kit Siang, taktik kotor ini telah diketengahkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2014 baru-baru ini, yang jelas bertujuan memupuk ketegangan kaum supaya ketidakstabilan dan rasa tidak selamat masyarakat berkekalan.

“Kerajaan telah membiayai beberapa NGO untuk mempromosikan kebencian kaum, langkah ini adalah berkait rapat dengan falsafah politik Machiavelli pecah dan perintah mereka,” katanya dalam ucapan Majlis Makan Malam DAP Seputeh di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Kwo, malam tadi.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga turut kesal dengan tindakan kerajaan yang sanggup mencemar kesucian agama sebagai sebahagian dari tujuan mengekalkan kuasa.

“Dari semua perkembangan tidak sihat dilihat kebelakangan ini, perkara paling membimbangkan adalah kemunculan begitu ramai pelampau (ekstremis) agama,’ ujarnya.

Beliau sekali lagi mengecam tindakan kerajaan membiarkan ancaman Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali untuk membakar Bible yang kononnya dilakukan demi ‘mempertahankan Islam’.

“UMNO nampaknya membiarkan kumpulan ekstremis ini menggunakan Islam sebagai alat untuk memisahkan rakyat Malaysia, walhal cara digunakan langsung tidak sesuai dalam sebuah negara demokratik.

“Selepas pilihanraya umum (PRU) ke 13, pembohongan yang dirangka mengikut garis perkauman semakin menjadi-jadi. Taktik jahat menggunakan sentimen perkauman adalah bahaya dan perlu dihentikan.

“Kita perlu berkerja membina jambatan sesama masyarakat dan agama kerana nilai-nilai murni demokrasi, saling menghormati tetap akan menang ke atas pemisahan serta politik kebencian,” tegas Kit Siang. – Roketkini.com