Berita

Pusat Khidmat Bergerak DAP Mentakab atasi masalah rakyat

TEMERLOH, 9 DIS: DAP Mentakab kini mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan Pusat Khidmat Bergerak DAP di lokasi tumpuan utama di daerah ini dengan tujuan bagi merapatkan hubungan antara wakil rakyat dengan penduduk setempat.

Baru-baru ini ADUN DAP Mentakab, Tengku Zulpuri Shah bersama beberapa ahli dan sukarelawan DAP tempatan membuka pondok aduan di Pasar Awam Mentakab bagi menawarkan khidmat bantuan.

Menurut Tengku Zulpuri, kaedah ‘turun padang’ adalah cara terbaik bagi menyantuni pengundi dan penduduk setempat, selain peluang mendengar secaara langsung masalah rakyat terutamanya di pekan kecil seperti Mentakab.

Tengku Zulpuri yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang berkata, antara isu yang dibangkitkan penduduk di daerah ini adalah bantahan orang ramai terhadap kenaikan cukai pintu oleh Majlis Perbandaran Temerloh (MPT).

“Khidmat nasihat berkenaan bantahan cukai pintu juga disediakan,” menurut Tengku Zulpuri.

Dalam suasana serba santai, kehadiran orang ramai yang terdiri dari pelbagai bangsa, peringkat umur dari pelbagai kawasan perumahan dan kampung di Mentakab menjadikan Pusat Khidmat Bergerak DAP Mentakab seperti ‘kenduri kecil’.

Gambar-gambar aktiviti Pusat Khidmat Bergerak DAP Mentakab

Dalam pada itu Tengku Zulpuri memaklumkan, aduan orang ramai di daerah ini terutamanya adalah berkenaan keadaan prasarana dan infrastruktur awam yang usang, selain kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) menceriakan pekan Mentakab.

Terbaru, beliau menerima banyak aduan dari peniaga dan pengunjung Pasar Awam Mentakab tentang keadaan kawasan perniagaan itu yang kini dilitupi tumbuhan usang dan pokok reput.

Menurutnya, aspek keselamatan perlu menjadi keutamaan PBT, dan bukannya membiarkan lokasi tumpuan itu menjadi tempat berbahaya untuk dikunjungi sehingga perlu menunggu kejadian tidak diingini berlaku.

“Manakala jalan depan Tokong Cina bersebelahan dengan Pasar Mentakab ini pula sudah berlubang bsar. Ia membahayakan pengguna yang berurusan di Pasar Mentakab..

“(Sekarang) ini musim hujan ribut. Jangan tunggu ada yang tercedera baru mahu ambil tindakan,” kata Tengku Zupuri kepada Roketkini.com.

Justeru itu, peluang bertemu penduduk Mentakab atas inisiatif Pusat Khidmat Bergerak menurut Tengku Zulpuri adalah peluang kepada DAP memberi kefahaman berhubung isu-isu semasa dan nasional.

Malah, Pusat Khidmat Bergerak DAP Mentakab secara tidak langsung berperanan menjadi pusat sehenti dan majlis pertemuan di kalangan penyokong Pakatan Rakyat, selain keahlian anggota DAP yang baru didaftarkan. – Roketkini.com