Berita

DAP tidak anti-Islam atau Melayu, tapi anti-rasuah

SUBANG, 14 DIS: DAP tidak pernah menyatakan bahawa parti ini anti kepada mana-mana ajaran agama, atau kaum tertentu, sebaliknya parti ini anti kepada rasuah dan penyelewengan kuasa, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Parti DAP tidak anti-Melayu, tidak anti-Islam, tidak anti-bukan Islam. Tapi kita anti rasuah.

“Kerana UMNO adalah ibu segala rasuah, sebab itu kita anti UMNO,” kata Guan Eng dalam ucaptama Persidangan Kebangsaan DAP 2014 di One City, Subang Jaya hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan menyatakan, DAP menentang habis-habisan segala sentimen perkauman dan elemen ektremis UMNO.

“DAP akan terus menjadi parti bukan kaum yang meraikan kepelbagaian kaum dengan matlamat utama mendemokrasikan Malaysia berdasarkan kebebasan, keadilan sosial dan peluang saksama.

“DAP tidak pernah menjadi parti yang hanya berjuang untuk satu kaum atau agama saja. Kita parti untuk semua,” katanya.

Tambah beliau, untuk membuktikan amalan kepelbagaian kaum dan menolak sepenuhnya politik kebencian, DAP akan berusaha menghadapkan Ketua UMNO Baling Mashitah Ibrahim ke pengadilan.

Mashitah baru-baru ini telah mendakwa seorang pemuda Cina telah mengoyak Al-Quran ‘sehelai demi sehelai’ di Kedah.

Sedangkan dakwaan itu disanggah sendiri oleh Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir yang menyatakan bahawa seorang pemuda Melayu yang kurang siuman.

Tanpa rasuah, Malaysia tak perlu GST

Dalam pada itu kata Guan Eng, kerajaan Pusat seharusnya memberi tumpuan kepada usaha-usaha menangani masalah ekonomi.

“Kerajaan lemah dalam menangani kegawatan ekonomi. (Seharusnya) berikan tumpuan penuh kepada masalah ekonomi

“Tanpa rasuah, Malaysia tak perlu laksana GST (cukai barangan dan perkhidmatan),” ujar Guan Eng merujuk ketirisan dan rasuah dalam pentadbiran kerajaan sehingga terpaksa ‘ditampung’ melalui kenaikan pelbagai cukai.

Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini mendedahkan bahawa negara mengalami kerugian RM20 bilion setahun akibat pelbagai ketirisan,salah urus, pemborosan serta amalan kronisme yang berleluasa berlaku dalam kerajaan UMNO-BN. – Roketkini.com