Berita

Kuota 30 peratus wanita wajar ke akar umbi, tak sekadar CEC

SUBANG, 14 DIS: Naib Pengerusi Pengerusi DAP M Kula Segaran menyarankan cadangan kuota 30 peratus wanita tidak hanya terhad kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), sebaliknya dibuat secara menyeluruh.

“Tapi saya ingin memohon agar usaha ke kesaksamaan wanita ini tidak tertumpu kepada CEC saja, mengapa tidak kita perluaskannya kepada negeri dan cawangan lainnya,” ujarnya dalam perbahasan Persidangan DAP 2014.

Terdahulu, beliau menyokong penuh usul Ketua Wanita DAP Chong Eng menetapkan kuota 30 peratus wanita dalam CEC, dengan tujuan menggalakkan lebih ramai penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu menambah, DAP harus memberikan peluang 30 peratus kepada golongan wanita dalam pilihanraya umum (PRU) akan datang.

Menurutnya, berdasarkan statistik penyertaan wanita dalam Dewan Rakyat, Malaysia berada dalam kedudukan yang teruk, iaitu di tangga ke-120 dari 150 negara, lebih buruk berbanding Zambia dan republik Congo.

“(Manakala ) Rwanda memiliki peratusan tertinggi iaitu sebanyak 63.8 peratus, manakala Bolivia di tempat kedua iaitu 53.1 peratus penyertaan wanita dalam Parlimen.

“Saya berharap kita dapat memberikan peluang kepada wanita bertanding dalam PRU akan datang, sekurang-kurangnya 30 peratus.

“DAP mesti buktikan bahawa kita memang berbeza dengan parti lain,’ ujarnya. – Roketkini.com