Berita

MP Kota Belud dicabar ikrar semula sumpah di Batu Sumpah Keningau

KOTA KINABALU, 23 DIS: Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan dicabar mengikrarkan semula sumpah di Batu Sumpah Keningau, dan mengembalikan semula perkataan ‘jaminan kerajaan Malaysia’ yang tertera pada plak asal tugu tersebut.

Jurucakap Jaringan Orang Asal Malaysia (JOAS) Adrian Lasimbang berkata, Rahman melalui kiriman di laman mikro twitternya baru-baru ini menuduh pemimpin DAP mengejek upacara Batu Sumpah, walhal pemimpin Umno Sabah itu membiarkan pemilik tanah tugu peringatan itu diugut samseng tak dikenali.

“Kandungan asal Batu Sumpah itu diangkat oleh wakil Orang Asal DAP, Edwin Bosi, yang merupakan dasar Perjanjian Malaysia 1963 dan intipati 20 Perkara yang merujuk hak istimewa penduduk peribumi Sabah

“Rahman, ahli Umno tidak ada asas untuk menggesa permohonan maaf dari kaum peribumi Sabah, yang mendirikan Batu Sumpah bagi mengingatkan orang ramai tentang jaminan kerajaan Malaysia tentang hak Orang Asal Sabah semasa pembentukan Persekutuan,” tegas Adrian.

Adrian menjelaskan, ritual di replika Batu Sumpah pada asalnya dibuat di tugu peringatan dan mengikut istiadat, dipimpin Bobolian dengan menunaikan upacara bagi menguatkuasa janji kerajaan Malaysia kepada masyarakat Orang Asal Sabah.

“Kami percaya bahawa Batu Sumpah adalah jaminan hak oleh kerajaan Malaysia, dan semua Orang Asal perlu tahu tentangnya. Itulah sebabnya mengapa kami meneruskan upacara ini di seluruh daerah di Sabah,” kata Adrian.

Tambahnya, siri upacara Batu Sumpah yang dijalankan orang Asal melalui sokongan DAP adalah bagi mengingatkan penduduk tempatan tentang kewujudannya, fakta sejarah dan kandungan Batu Sumpah tersebut.

“Pemimpin DAP hanya hadir untuk melihat upacara itu,” kata Adrian merujuk kehadiran pimpinan DAP, antaranya Naib Pengerusi Kebangsaan yang juga Ahi Parlimen Seputeh Teresa Kok.

“Kami cabar Rahman dan pemimpin BN untuk mengikrarkan semula sumpah di Batu Sumpah Keningau,” tegas Adrian. – Roketkini.com