Berita

Peruntukan RM500 juta bantuan banjir tak cukup

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Peruntukan tambahan RM500 juta oleh Pusat kepada negeri yang terjejas akibat banjir tidak mencukupi, kata Setiausaha Organiasasi DAP Anthony Loke Siew Fook.

“Sekiranya RM500 juta diagihkan kepada lebih 220,000 mangsa banjir, secara purata seorang hanya mendapat RM2,000.

“Sudah tentu bantuan tersebut tidak mencukupi untuk membantu mangsa terutama yang menghadapi kemusnahan rumah.

“Ini tidak mengambil kira peruntukan diperlukan untuk membina semula jambatan, jalan raya yang rosak dan membaiki cerun yang berrisiko runtuh.

“Semua ini memakan perbelanjaan ratusan juta ringgit. RM500 juta tidak mencukupi untuk menampung kos pembinaan semula Kelantan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP, tengahari tadi.

Hadir sama ialah Ketua Pemuda DAPSY Teo Kok Seong, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, ADUN Balakong Ng Tien Chee dan ADUN Ketari Lee Chin Chen.

Justeru itu Anthony menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan Sidang Khas Parlimen awal bulan agar dapat membincangkan langkah khusus membantu mangsa banjir dan meluluskan belanjawan tambahan.

Kata Ahli Parlimen Seremban itu, satu skim bantuan khas dan kaedah bantuan mangsa banjir perlu dikaji dan dibincangkan.

“Sidang Khas ini akan memberi ruang kepada Ahli Parlimen terutamanya mereka yang mewakili kawasan dilanda banjir untuk menyuarakan pandangan dan permasalahan.

“ia memberi peluang kepada pembangkang atau kerajaan untuk menunjukkan bahawa kita boleh mengenepikan perbezaan politik untuk bersatu menghadapi malapetaka ini,” ujarnya.

Pada 28 Disember lalu, Anthony bersama pimpinan DAP dan sukarelawan menjalankan misi kemanusiaan bagi menyampaikan bantuan di Kuala Krai dan Gua Musang.

Misi tersebut dijayakan dengan kerjasama PAS Gua Musang dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Krai.

Jelas Anthony, memandangkan keadaan masih teruk di Kuala Krai, beliau akan memulakan dua lagi misi bantuan pada 31 Disember dan 1 Januari ini.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, Tabung Kecemasan DAP berjaya mengumpul sebanyak RM220,324 sehingga jam 12 tengahari hari ini, tidak termasuk kutipan di peringkat negeri. -Roketkini.com