Rencana

‘Di mana Guan Eng’ tanya orang Umno

Bencana yang menenggelamkan negeri-negeri pantai timur sudah masuk fasa pemulihan. Dengan banyak kawasan sudah pun surut air bahnya, dan memperlihatkan kenderaan dan harta benda berserakan, diselimut lumpur dan sampah.

Ada yang sudah kembali ke rumah masing-masing sambil cuba menguis puing-puing papan mencari-cari barang sesuatu yang masih boleh diselamatkan. Kalau tidak pun jasad materinya, sentimen pun jadi. Album gambar misalnya, atau koleksi majalah hiburan contohnya.

Di saat semua ini berlaku dan kita menghela nafas lelah siap membungkus kotak berisi beras, susu, lampin dan baju; masih banyak persoalan-persoalan yang tersisa; selain pengajaran dan moral daripada semua ini yang tidak dapat kita abaikan. Banyak darinya berkisar soal persiapan negara menghadapi bencana, serta perbahasan sama ada perlu atau tidak diisytihar darurat yang akan nanti kita bincangkan.

Namun persoalan yang paling membuat ketawa datangnya daripada lidah-lidah ‘pempolitik sengsara’ yang bertanya ‘Guan Eng mana?’

Soalan ini ditanya sebagai reaksi kepada pendedahan media bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang enak bermain golf di Hawaii, ketika rakyat sedang bergulat dengan harta benda meranduk arus deras demi menyelamatkan nyawa, dan duduk berdiam di bangunan tinggi tanpa keterhubungan dengan dunia; berteman enam keping roti untuk tiga hari lagi.

Kita ramainya telah menjamah gambar encik Najib Razak sedikit membongkok dan menonggeng, sambil sebelah tangan menghayun kayu golf; diperhatikan Presiden Amerika, Barack Hussein Obama. Si baju merah jambu itu kita kenal. Insan yang kerap kali ghaib daripada tempat duduknya di Parlimen untuk memberi jawapan kepada banyak persoalan.

Najib Razak Perdana Menteri Kerajaan Persekutuan, dengan segala sumber dan jentera kerajaan di hujung jarinya, sehingga hari ini masih gagal memuaskan hati rakyat banyak meski sudah mencemar duli meranduk air banjir di Kota Bharu. Barangkali masih ada ramai yang memandangnya dengan ekor mata sambil hati berkata ‘Satu permohonan maaf pun tak ada’.

‘Maaf saya lambat pulang. Maaf saya terpaksa berdiplomasi di padang golf. Maaf anda terpaksa makan beras mentah. Maaf anda tidak ada bekalan elektrik. Maaf saya tidak isytihar darurat meski harga barang naik tidak terkawal sampaikan kedai-kedai diceroboh kerana saya risau nanti anda tidak boleh buat tuntutan insuran’.

Maaf yang semacam itu pun jadi lah.

Tapi tidak. Jawapan yang kita temukan daripada kesilapan Najib ialah persoalan ‘mana Guan Eng’.

Juak-juak Umno barangkali sudah benar-benar putus asa dengan Najib Razak. Meski timbalannya Muhyiddin Yaasin telah berkata ‘tak apa, saya ada’; mereka masih juga tercari-cari Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Seolah-olah mereka ini sudah benar-benar bersedia untuk menerima kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai commander in chief, supaya beliau mengepalai usaha kerajaan persekutuan, menggantikan Najib Razak.

Jika bukan sebab itu, kenapa lagi mereka menyeru-nyeru nama pimpinan Pakatan Rakyat? Apa Guan Eng kah Perdana Menteri yang dengan sekelip mata boleh membatalkan pengumuman bantuan RM50 juta menterinya dan mengumumkan bantuan RM500 juta pula sebaik tiba dari percutian di Hawaii?

Apakah muka Guan Eng yang harus ditampal pada bungkus-bungkus beras? Apakah juga Guan Eng presiden parti pemerintah?

Sebut tentang menampal muka ke bungkus beras; kita pasti teringat ucapan salah seorang perwakilan di Perhimpunan Agung Umno pada tahun ini bahawa kononnya setiap butir beras yang kita makan adalah kerana Umno. Nah, sekarang kita faham lah maksudnya.

Bungkus-bungkus beras yang harus ditampal poster, atau yang lebih celaka terpaksa dikeluarkan daripada bungkus asal untuk dipakej semula dalam bungkusan yang dicetak wajah pemimpinnya adalah antara sebab kenapa bantuan lewat sampai ke tangan mereka yang memerlukan. Hatta ada yang saling bertumbuk dan bercakaran demi sekampit beras atau sepotong roti, kerana anak sudah dua hari tidak makan.

Sekarang bukan masa untuk bertanya soalan-soalan bodoh. Sekarang masa untuk bersatu hati dan menggunakan akal serta hati nurani untuk mendahulukan apa yang lebih penting dan mengesampingkan apa-apa yang kurang dan tidak penting.

Semoga 2015 nanti tidak sarat dengan kebodohan lagi.

p/s: Mungkin kita sepatutnya bertanya mana isteri Perdana Menteri dan pesawat rasmi kerajaan? – Roketkini.com