Berita

DAP gesa mobilisasi besar-besaran bersih Kuala Krai

KUALA KRAI, 2 JAN: DAP menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggerakkan semaksima bilangan kakitangan awam dan tentera untuk membersihkan Kuala Krai serta memastikan makanan mencukupi diedarkan kepada semua mangsa banjir secepat mungkin.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook dan Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong dalam kenyataan bersama menegaskan langkah tersebut perlu segera dibuat agar dapat mengelak berlakunya potensi wabak penyakit serta kecurian.

“Kami menyeru Najib menggunakan sekurang-kurang 10,000 anggota tentera (dari semua kem di Kelantan) supaya terlibat secara besar-besaran membersihkan Kuala Krai dan memastikan makanan dibekalkan ke seluruh pelosok Kuala Krai.

“Tanpa langkah-langkah memastikan makanan dan barang keperluan diedar secara teratur tanpa kuasa pasaran kedai dan gerai yang berfungsi baik, pergolakan sosial akan berlaku.

“Kehadiran tentera dan peningkatan kehadiran polis, tentunya akan memulihkan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah kenyataan itu, banjir teruk di Kuala Krai mengakibatkan penduduk di situ menghadapi kesusahan dan lebih sukar apabila bekalan elektrik dan air hanya hanya terhad di kawasan tertentu.

Jelasnya, kini lebih 10 hari warga Kuala Krai hidup tanpa elektrik dan bekalan air bersih.

“Sampah kebanyakannya tidak dipungut, kawasan belum dibersihkan dan bau bangkai haiwan nampaknya sudah menjadi satu kebiasaan.

“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan berlakunya krisis berkembar iaitu wabak penyakit dan bencana kesihatan pula di sini,” kenyataan tersebut dipetik. – Roketkini.com