Berita

Delegasi P Pinang ke Hong Kong dan Taiwan, lebar potensi pelaburan

PULAU PINANG, 20 JAN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan mengetuai delegasi misi pelaburan ke Hong Kong dan Taiwan bagi mempererat hubungan dagang bersama pelabur-pelabur di sana.

Antara jadual misi termasuk pembentangan oleh InvestPenang, syarikat kerajaan negeri bagi mempromosi peluang pelaburan di Pulau Pinang.

Guan Eng dijangka menyampaikan ucapan khas mengenai Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang (PPTMP) yang bernilai RM 27 bilion bersama Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yow

Dalam pada itu, kerajaan negeri akan bertukar kepakaran di samping mempelajari sistem keselamatan dan mekanisme keamanan sosial di negara tersebut.

Delegasi Pulau Pinang akan turut melawat jabatan polis di daerah New Taipei City, kawasan populasi terbesar di Taiwan.

Ia sebahagian langkah diambil kerajaan Pulau Pinang bagi menjadikan negeri ini bebas jenayah, termasuk melalui usaha menceburi ‘pengkomputeran awam’, gabungan teknologi komputer berasaskan internet serta ‘analisa big data’ (BDA).

“Ia khusus bagi mencegah jenayah melalui penyelarasan 700 kamera litar tertutup (CCTV) yang akan dipasang di seluruh negeri,” kenyataan pejabat Ketua Menteri dipetik.

Rombongan kerajaan negeri akan turut mendengar ucaptama Profesor Paul Krugman sempena Forum Kewangan Asia di Hong Kong.

Turut menyertai misi perdagangan adalah wakil InvestPenang, Transport Master Plan Implementation (TMPI) dan InvestPenang. – Roketkini.com