Berita

Semakan Belanjawan 2015 dapat respon negatif komuniti kewangan

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Semakan semula Belanjawan 2015 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal memberikan keyakinan terhadap komuniti kewangan dan mendapat respon negatif pelabur.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, ia berdasarkan prestasi berterusan merosot walaupun Najib bertegas kononnya Malaysia tidak berada dalam krisis ekonomi.

“Indeks Komposit Kuala Lumpur Bursa Malaysia (KLCI) turun 0.18 peratus atau 3.2 mata hari ini kepada 1.750,11.

“Hakikat yang perlu disedari prestasi KLCI sebenarnya menurun lebih 100 mata berbanding 1855 pada 31 Oktober tahun lalu,” kata Tony dalam satu kenyataan hari ini.

“Walaupun Najib mendakwa kerajaan yakin bahawa ‘kadar tukaran ringgit akan mengalami penyesuaian dan kembali ke paras menggambarkan asas ekonomi kukuh, pasaran menunjukkan sebaliknya oleh penjualan ke bawan ringgit Malaysia,” ujarnya.

Setiausaha Publisiti DAP itu menyatakan, sebaik Najib mengumumkaan semakan Belanjawan 2015, ringgit menurun 0.9 peratus kepada 3,6030 per dolar yang merupakan paras terendah sejak April 2009.

Tambah Tony, Najib turut mengenepikan kepentingan menurunkan sasaran defisit tahun ini yang begitu tinggi, iaitu sebanyak 3.2 peratus dengan alasan ia masih lebih rendah berbanding 3.5 peratus tahun lalu

“Jelas semakan semula Belanjawan 2015 dan pelarasan dasar kerajaan oleh Najib amat jauh dari apa yang diperlukan untuk menghadapi cabaran landskap kewangan baru dengan harga minyak rendah antara AS40 hingga AS50 setong,” ujarnya.

Justeri itu, Tony menyeru Najib mengadakan sidang Parlimen Khas untuk membahaskan semakan dan pindaan Belanjawan 2015 agar Kabinet boleh menggunakan strategi yang lebih kukuh bagi mengelak krisis ekonomi yang bakal berlaku. – Roketkini.com