Berita

DAP desak KPN siasat menyeluruh mengapa Altantuya dibunuh

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Sabitan kesalahan jenayah terhadap dua bekas anggota polis kerana membunuh Altantuya Shaariibuu tidak harus menjadi alasan untuk Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak menyiasat mengapa wanita Mongolia itu dihukum sedemikian rupa, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata, sebagai seorang Ketua Polis yang ‘bertanggungjawab dan teliti’ sepatutnya beliau menjalankan sendiri siasatan untuk mengetahui mengapa Koperal Sirul Azhar Umar dan Cif Inspektor Azilah Hadri membunuh wanita penterjemah yang tidak mereka kenali pada tahun 2006.

“Tindakan Khalid yang tidak berminat mengetahui mengapa wanita Mongolia itu dibunuh menggunakan bahan letupan C4 oleh dua bekas anggota polis tersebut tanpa motif atau sebab munasabah adalah pengabaian tanggungjawab.

“Walaupun mahkamah tidak menetapkan motif pembunuhan Altantuya, seorang Ketua Polis yang ‘bertanggungjawab dan teliti’ harus menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengetahui mengapa kedua mereka yang ditugaskan melindungi manusia, bertindak kejam membunuh wanita tidak berupaya,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Gelang Patah sekali lagi menyatakan, Khalid mesti melakukan siasatan menyeluruh untuk mengetahui sama ada perbuatan terkutuk itu didorong wang ringgit, dan pihak yang menawarkannya.

Pada 2006, Sirul dan Azilah didakwa membunuh Altantuya Sharibuu, yang berusia 28 tahun (ketika itu) dan disabitkan bersalah pada tahun 2008.

Pada tahun 2013, Mahkamah Rayuan membebaskan mereka, namun minggu lalu Mahkamah Persekutuan mengubah keputusan tersebut dan menjatuhkan hukuman mati kepada kedua-dua bekas anggota polis.

Sirul melarikan diri ke Australia Oktober lalu sebelum keputusan Mahkamah dibacakan, dan beliau menolak kembali ke Malaysia bagi menghadapi hukuman serta ditempatkan di pusat tahanan Villawood di Sydney.

Polis Diraja Malaysia baru-baru ini telah membuat permohonan rasmi supaya Sirul dapat dibawa pulang, namun undang-undang Australia melarang individu daripada dihantar ke negara lain bagi kesalahan yang melibatkan hukuman mati.

Kit Siang menambah, DAP bercadang untuk memanggil Jawatankuasa Parlimen kedua-dua parti (BN dan Pakatan Rakyat) untuk menyiasat semua pertanyaan berkaitan pembunuhan Altantuya sebaik Dewan Rakyat kembali bersidang pada 9 Mac. – Roketkini.com