Berita

Ismail menipu elak bertanggungjawab, malah menyebar fitnah – Ngeh

IPOH, 3 FEB: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri bukan sahaja mengeluarkan kenyataan perkauman, malah memfitnah Ahli Parlimen Bruas, Ngeh Koo Ham anti-Islam dan menindas orang Melayu.

Justeru itu, Ngeh menggesa Perdana Menteri Najib Tun Razak memecat menteri itu atas cubaan menghuru-harakan keharmonian kaum di Malaysia dengan penipuan.

“Saya betul-betul terkejut bila Ismail seru orang Melayu memboikot perniagaan orang Cina.

“Dia pergi lebih jauh apabila mengatakan keluarga saya terkenal dengan anti Islam, di samping mengatakan orang Cina ambil peluang menindas orang Melayu.

“Saya mahu jelaskan. Saya langsung tak ada saham dalam Old Town White Coffee,” kata Ngeh dalam satu kenyataan.

Menurut Ngeh, cariannya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati syarikat itu dimiliki pelbagai pihak.

Antaranya Koperasi Felda Malaysia Berhad, Amanah Raya Trustees Berhad, Maybank Nominees (Tempatan) Sdn Bhd, dan Hong Leong Assurance Berhad dan lain-lain.

“Macam mana Ismail boleh kata pemegang saham syarikat itu ‘orang Cina’? Saya tidak nampak begitu.

“Sudah terbukti Ismail akan elak tanggungjawabnya dengan menipu lagi,” ujar Ngeh.

Ismail sebelum ini dikecam hebat Pakatan Rakyat dan pengguna internet berikutan kenyataan melampaunya menyeru orang Melayu memboikot perniagaan orang Cina kononnya bagi memberi tekanan supaya harga barang di pasaran turun.

Malah, Ismail mendakwa Ngeh dan keluarganya adalah pemilik perniagaan francais Old Town White Coffee dan telah menindas pengunjung dengan harga tinggi.

Hanya satu keluarga Ngeh di Perak

Lebih memalukan, Ismail mengelak bertanggungjawab apabila mengatakan kononnya ‘Ngeh’ yang dimaksudkan bukanlah ahli Parlimen Bruas itu, tetapi ‘Ngeh’ yang lain, kerana menurut menteri itu bukan seorang sahaja Ngeh di Perak.

Justeru itu, Ngeh menggesa Ismail menarik kenyataan dan memohon maaf kepada beliau dan keluarganya kerana menyifatkan mereka sebagai anti-Islam.

“Ismail menipu terang-terangan bila dia kata dia tak maksudkan saya bila menyebut ‘keluarga Ngeh’.

“Sedangkan, hanya ada satu sahaja keluarga Ngeh di Perak ini, iaitu keluarga saya. Saya cabar dia untuk berikan nama lain selain saya ketika dia buat kenyataan fitnahnya.

“Terbukti Ismail orang yang tak bertanggungjawab dan sanggup menipu untuk mengelak diri. Bahaya jika orang seperti ini memegang jabatan kementerian. – Roketkini.com.