Berita

Tapak pelupusan di Perak dibuka senyap-senyap timbul persoalan, kata ADUN DAP

ADUN Pantai Remis, Wong May Ing

PANTAI REMIS, 7 FEB: Tapak pelupusan yang dipindahkan dari Sungai Wangi ke Teluk Mengkudu di Perak menimbulkan kecurigaan kerana dibuat secara senyap oleh pihak yang bertanggungjawab.

ADUN Pantai Remis, Wong May Ing, berkata pihak Majlis Perbandaran Manjung(MPM) tidak pernah mengeluarkan apa-apa notis tentang hal perpindahan tersebut.

“Selepas menerima aduan penduduk, saya dan Ahli Parlimen Bruas Ngeh Koo Ham terus bergegas melawat ke sana dan sangat terkejut dengan situasi di tapak itu.

“Kami lihat infrastruktur tapak pelupusan baru yang tidak lengkap dengan keadaan lubang sampah yang belum siap digunakan bagi melupus sampah,” katanya dalam satu kenyataan.

May Ing menambah walaupun tempat pelupusan tersebut jauh dari perumahan, ia terlalu dekat dengan dengan laut, iaitu jika kaedah tidak lengkap dipaksakan juga, ia boleh menyebabkan pencemaran air.

Beliau menjelaskan bahawa DAP Perak tidak membantah tapak pelupusan yang dibina jauh dari kawasan perumahan tetapi tidak bersetuju dengan keputusan MPM memilih untuk melaksanakan projek tersebut secara sembunyi-sembunyi, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.

“Tindakan MPM itu timbulkan kecurigaan dan persoalan. Sepatutnya MPM membuat satu sesi penerangan dan soal jawab dengan warga tempatan untuk mendapatkan pandangan dan persetujuan ramai.

“Jika proses ini dibuat, pihak MPM boleh cadangkan model pengurusan sampah sistematik dan selesaikan masalah bau sampah yang datang dari lori yang sering melalui kawasan perumahan sekitar itu,” katanya.

Justeru, beliau berkata, DAP akan mengambil tindakan susulan untuk bertemu dengan pihak MPM bagi membincangkan masalah tapak pelupusan yang tidak lengkap di Teluk Mengkudu itu.- Roketkini.com