Berita

“Mengapa saya boleh ke seluruh dunia, tapi tak boleh ke Sabah dan Sarawak?

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Naib Pengerusi DAP Teresa Kok berkata, beliau boleh ke seluruh dunia, namun anehnya tidak boleh ke Sarawak dan Sabah yang merupakan sebahagian dari Malaysia.

Justeru itu, beliau menggesa kerajaan Sarawak dan Sabah membuktikan ancamannya kepada keamanan di negeri-negeri itu, kerana sehingga hari ini pihak berkuasa masih belum menyatakan sebab halangan tersebut.

Teresa merujuk kenyataan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Openg semalam yang menyatakan bahawa individu yang dilihat sebagai ancaman kepada keharmonian kaum dan agama akan dihalang memasuki negeri ini.

“Saya dilarang memasuki Sarawak sejak tahun lalu tanpa diberitahu sebabnya.

“Adalah membingungkan dan tidak adil sama sekali bahawa saya diharamkan daripada memasuki Sarawak, yang merupakan sebahagian daripada Malaysia.

“Saya mencabar Abang Johari mendedahkan mengapa saya dihalang memasuki negeri itu,” kata Teresa.

Ujar Teresa, sebagai Ahli Parlimen Malaysia dan pemegang pasport antarabangsa yang membolehkannya melakukan perjalanan ke seluruh dunia, adalah tidak masuk akal apabila tidak boleh melakukan perjalanan ke negara sendiri.

Dalam pada itu, Teresa turut mencabar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menyiarkan rekod perisikan melibatkannya, yang dikatakan sebab halangan memasuki negeri itu.

Ahli Parlimen Seputeh itu dihalang memasuki Sabah sejurus tiba di lapangan terbang Sandakan pada jam 3 petang, 4 Februrari lalu.

Beliau kemudiannya dihantar pulang ke Kuala Lumpur dengan pesawat yang sama setengah jam kemudian.

“Saya tidak fikir kerajaan Sabah akan menyahut cabaran saya, kerana tidak ada apa-apa bukti yang menyatakan bahawa saya telah, atau menjadi ancaman kepada keamanan dan keharmonian di negeri ini.

“Saya tak ragu-ragu menyatakan bahawa larangan kerajaan Sabah ke atas saya bermotifkan politik, dan dibuat kerana kerja politik saya yang menjadi ancaman kepada BN,” ujarnya – Roketkini.com