Berita

Kenyataan pantas Pejabat Perdana Menteri, bukti Anwar telah dianiaya

KUALA LUMPUR, 12 FEB: DAP hari ini mempersoalkan kenyataan awal yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang mensabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kesalahan liwat sebelum hukuman tersebut dijatuhkan di dalam prosiding Mahkamah Persekutuan.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, kenyataan awal tersebut yang menuduh Anwar melakukan ‘serangan seksual serius’ kini menimbulkan lagi persoalan mengenai kebebasan badan kehakiman negara.

“Bolehkah kerajaan menjelaskan bagaimana PMO mengeluarkan kenyataan mempertahankan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar beberapa minit sebelum Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria menjatuhkan hukuman dengan mendakwa bahawa ‘semua proses dilaksanakan dengan lengkap dan komprehensif’ apabila ia sebenarnya tidak selesai?

“Apakah PMO ini begitu genius berbanding Tun Ariffin yang mengambil masa dua jam membaca penghakimannya sedangkan pihak mereka sekadar mengambil masa beberapa minit saja untuk mencerna jargon undang-undang, kerumitan teknikal dan hujah-hujah dalam penghakiman?

“Adakah kenyataan PMO yang mendahului sabitan terhadap kes liwat Anwar dikeluarkan berikutan ‘anomali yang amat nyata’ yang menimbulkan syak wasangka bahawa kes ini sebenarnya adalah penganiayaan politik dan bukannya pendakwaan jenayah,” soal Kit Siang dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut mempersoalkan siapakah sebenarnya individu yang bertanggungjawab terhadap kenyataan PMO tersebut.

“Rakyat berhak mengetahui sama ada Perdana Menteri, Peguam Negara, Pendakwa Raya atau ketiga-tiga mereka telah berunding, diberi kebenaran dan mengetahui terlebih dahulu sabitan untuk mengeluarkan kenyataan PMO.

“Atau adakah ia satu lagi kes seperti surat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada FBI yang mempertahankan seorang raja judi tanpa pengetahuan mahupun persetujuan Ketua Polis Negara, Kementerian luar dan Perdana Menteri sendiri?

“Adakah benar kenyataan PMO tersebut adalah hasil ‘guru PR’ Najib iaitu bekas bos APCO Malaysia Paul Stadlen yang dibayar jutaan ringgit setahun oleh kerajaan untuk bertindak sebagai dalang operasi komunikasi Perdana Menteri, seperti didedahkan oleh Sarawak Report?” soalnya.

Kenyataan PMO yang dikeluarkan ketika prosiding Mahkamah Persekutuan kes Anwar sedang berjalan mendapat kecaman hebat pelbagai pihak termasuk pimpinan Pakatan Rakyat (PR) sendiri.

Menteri Besar Selangor Azmin Ali sebelum ini turut menyatakan, kemungkinan besar wujudnya campur tangan pihak PMO terhadap keputusan mahkamah berikutan kenyataan tersebut yang dikeluarkan terlalu awal.

Katanya, perkara itu menunjukkan ada perancangan rapi antara Najib dan badan kehakiman negara berhubung prosiding mahkamah. -Roketkini.com