Berita

DAP gesa Kerajaan BN tolak permohonan KIDEX lanjut tempoh

PETALING JAYA, 13 FEB: DAP menyeru Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof agar menolak permintaan KIDEX untuk melanjutkan lagi tarikh akhir pembentangan syarat yang akan berakhir 15 Februari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran berkata, permintaan tersebut tidak harus dilayan berikutan kegagalan KIDEX sendiri membentangkan keperluan asas seperti yang telah ditetapkan Kerajaan Negeri Selangor.

“Kegagalan ini bermaksud sebarang permintaan untuk penangguhan atau lanjutan tidak wajar dipertimbangkan sama sekali apatah lagi ia memerlukan kelulusan Kerajaan Negeri.

“Fadillah harus ingat beliau sendiri telah mengakui beberapa kali bahawa tanpa kelulusan Kerajaan Negeri, projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) tidak boleh diteruskan.

“Jadi, ia sememangnya jelas bahawa tidak ada asas untuk memanjangkan lagi tempoh kepada KIDEX memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut Rajiv yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, sudah tiba masanya untuk melihat pilihan lain yang lebih sesuai dan mampan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang, khususnya di Petaling Jaya.

Katanya, antara pilihan terbaik adalah menambah baik pengangkutan awam.

Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini telah menetapkan tiga syarat kepada KIDEX sebelum lebuhraya tersebut dapat dibina di Petaling Jaya.

Tiga syarat itu adalah seperti membentangkan dampak lalu lintas dan kajian lain yang berkaitan serta ia mestilah memberikan manfaat kepada pengguna dari segi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Dua syarat lain pula ialah perlu ada ketelusan penuh berkenaan kadar pulangan daripada lebuhraya, termasuk tol yang akan dikenakan dan perjanjian konsesi didedahkan sepenuhnya kepada orang ramai.

Namun, tegas Rajiv, sehingga kini KIDEX masih gagal untuk menunjukkan bahawa mereka bersedia mematuhi syarat kedua dan ketiga.

“KIDEX melalui kenyataan oleh Ketua Pegawai Operasinya Shaharizuan Shafiei hanya bersetuju untuk mendedahkan perjanjian konsesi kepada Menteri Besar Selangor Azmin Ali dan penasihat undang-undang negeri.

“Ini merupakan petunjuk jelas bahawa KIDEX tidak boleh dan gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan,” tegasnya. -Roketkini.com