Berita

Isu Ismail Sabri berkait dengan kredibiliti dan moral semua menteri dan parti-parti BN – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 15 FEB – Isu kenyataan perkauman yang dikeluarkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini bukan hanya berkait dengan beliau secara peribadi tetapi juga semua menteri Kabinet dan parti-parti politik yang dipimpin mereka.

Menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, jemaah Menteri mempunyai peluang ketiga dan terakhir untuk melakukan perkara yang betul, iaitu menuntutnya meminta maaf dan menarik balik kenyataan perkauman beliau atau memecatnya daripada Kabinet sekiranya beliau enggan berbuat demikian.

Mesyuarat Kabinet yang akan bersidang Rabu nanti adalah yang ketiga selepas Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan menyeru pengguna Melayu memboikot perniagaan Cina dan menyalahkan para peniaga dari kaum tersebut kerana harga barang tidak turun.

“Rakyat Malaysia yang waras dan bersemangat muhibah tanpa mengira kaum, agama, atau pegangan politik telah jemu melihat kemunafikan pada isu Ismail Sabri kerana ia bukan lagi isu yang hanya menjejaskan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu, malah ia turut menjejaskan kredibiliti dan integriti semua 35 orang Menteri Kabinet dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” kata Kit Siang.

Sejauh ini, menurut Kit Siang, semua Menteri Kabinet menunjukkan bahawa mereka seolah-olah bersungguh-sungguh untuk membuktikan kebenaran kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin bahawa kabinet yang ada sekarang dianggotai oleh “tunggul kayu mati”.

“Kes Ismail Sabri membuktikan tanpa keraguan sama sekali bahawa Kabinet yang kita miliki sekarang adalah paling tolol dan tidak jujur sepanjang 58 tahun sejarah negara kita,” ujar Kit Siang.

Tambah Kit Siang lagi, penafian Ismail Sabri dan keengganannya untuk meminta maaf atas alasan kenyataannya telah disalah-faham hanya memburukkan keadaan.

“Dalam ungkapan lain, semua orang salah, kecuali dirinya sendiri!

“Bagi saya kanak-kanak sekolah rendah sekali pun tidak akan yakin dengan hujah Ismail Sabri yang tidak logik dan mengarut itu,” sindir ahli politik veteran itu. –Roketkini.com