Berita

Tiga Adun PR Negeri Sembilan ditangkap ketika perjuang hak penduduk kampung

NILAI, 4 MAC: Tiga Adun Pakatan Rakyat ditangkap bersama 25 orang lagi ketika Unit Simpanan Persekutuan (FRU) cuba menyuraikan himpunan aman menghalang syarikat pemaju dari memusnahkan kebun getah Kampung Gatco.

Perhimpunan penduduk itu demi menggesa syarikat pemaju Thamarai Holdings Sdn Bhd menangguh kerja-kerja di kawasan tersebut sehingga ia dibicarakan di mahkamah 26 Mac nanti.

Adun Bahau Chew Seh Yong , Adun Senawang P Gunasekaren dan juga Adun Port Dickson M Ravi yang turut sama dalam perhimpunan tersebut ditangkap oleh pihak polis bersama 25 orang penduduk kampung yang lain ketika menghalang pihak FRU menyuraikan perhimpunan.

Namun begitu, ketiga-tiga Adun Pakatan Rakyat itu dilepaskan selepas tiga jam tanpa apa-apa syarat sementara 25 penduduk kampung masih lagi ditahan pihak polis.

10636515_10205999216122035_5111825255085642069_oKetika dihubungi, Chew mengatakan tidak sepatutnya pihak pemaju melakukan demikian sambil menyifatkan kerajaan negeri tidak memainkan peranan apabila syarikat pemaju bertindak melulu tanpa mengira nasib penduduk di sana.

“PKNNS sepatutnya berperanan guna cara aman bagi selesaikan masalah penduduk Kampung Gatco.

“Tidak patut FRU datang dan bubarkan perhimpunan aman penduduk yang mahu mempertahankan kebun-kebun mereka.

“Kerajaan Negeri harus fikirkan jalan untuk selesaikan masalah penduduk Kampung Gatco dan syarikat pemaju, jangan berdiam diri saja,” tegas Chew.

Mangsa skim gagal pemaju

Penduduk Kampung Gatco dilihat sebagai mangsa sebuah skim gagal antara Great Alonioners Trading Corporation Berhad (Gatco) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (KKPL).

Ini kerana, akibat kegagalan skim kepada penduduk itu Gatco terpaksa menjual tanah yang dipajak PKNNS kepada mereka pada 1977 kepada Thamarai Holdings Sdn Bhd, mengakibatkan penduduk kampung tidak mendapat apa-apa pampasan dari skim tersebut.

Penduduk kampung telah menyaman Gatco dan Thamarai Holdings, namun kes mereka masih lagi menunggu untuk dibicarakan. – Roketkini.com