Berita

Rakyat sudah muak dengan Najib

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Kehadiran lebih 10,000 rakyat yang membanjiri jalanraya Kuala Lumpur merupakan bukti bahawa rakyat sudah bosan dengan kepimpinan zalim kerajaan UMNO-BN di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Teo Kok Seong.

“Selain menunjukkan solidariti kepada Anwar, perhimpunan ini juga bertujuan untuk menyatakan bahawa kita semua sudah muak dengan Najib dan mahu beliau berundur dengan segera,” katanya di luar perkarangan KLCC, petang tadi.

Beliau turut mengisytiharkan perhimpunan yang dihadiri oleh rakyat pelbagai kaum tersebut sebagai berjaya dan berlangsung dengan aman serta mengucapkan jutaan terima kasih kepada ribuan hadirin yang datang walaupun terpaksa menempuh hujan.

“Himpunan ini berjaya dan dijalankan secara aman. Kita semua berkumpul atas dasar kesedaran sebagai rakyat Malaysia serta tidak didorongi orang tertentu mahupun parti politik.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua khususnya anak-anak muda yang mengambil bahagian dari segenap sudut,” ujarnya.

Menyokong Teo, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad pula menegaskan, sudah tiba saat untuk Najib berundur dari kedudukannya sebagai Perdana Menteri kerana telah banyak melakukan tindakan salah sekaligus menyebabkan rakyat semakin sengsara.

“Dari krisis 1MDB, pelaksanaan GST dan beberapa lagi masalah lain, Najib sememangnya sudah patut berundur.

“Kita semua akan terus berhimpun setiap minggu dengan jumlah yang lebih ramai selepas ini dan kita tidak akan mengalah,” katanya.

Pusat bandar Kuala Lumpur hari ini menyaksikan himpunan pertama yang dianggap besar selepas beberapa himpunan lain sebelumnya bagi mendesak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan yang menjadi tahanan politik sejak 26 hari lalu.

Selain solidariti terhadap Anwar, himpunan Kita Lawan tersebut turut menuntut peletakan jawatan Najib.

Himpunan sama juga turut berlangsung di beberapa ibu negara di seluruh dunia bagi menarik perhatian antarabangsa terhadap ketidakadilan dalam sistem politik dan kehakiman negara.

Antaranya berlangsung di Old Palace Yard, London, berdekatan dengan bangunan Parlimen United Kingdom,di depan Bangunan Parlimen Australia di Canberra, di depan Parlimen South Australia di Adelaide dan di Liberty Square di Taiwan. -Roketkini.com