Berita

DAP akan bawa usul tubuh Jawatankuasa Pilihan di DUN Sabah, nilai 52 tahun Sabah dalam Malaysia

GELANG PATAH, 8 MAC: Bagi menilai kedudukan Sabah yang telah berada dalam persekutuan Malaysia selama 52 tahun, DAP akan bawa usul penubuhan Jawatankuasa Pilihan di sidang Dewan Undangan Negeri Sabah.

Menurut Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang, DAP menerusi Adun Kepayan Dr Edwin Boss akan membawa usul itu di sidang DUN Sabah bulan hadapan bagi membolehkan rakyat Sabah menyatakan pandangan dan harapan mereka.

“(Penubuhan jawatankuasa itu) akan memberi peluang kepada rakyat Sabah untuk menyalurkan dan merumuskan harapan dan impian mereka terhadap Sabah sebagai sebuah negeri dalam Malaysia,” ujar Kit Siang.

Menurut beliau lagi, penilaian yang dilakukan itu perlu menitikberatkan tiga jaminan asasi yang terpahat pada Batu Sumpah Keningau, iaitu kebebasan beragama, hak ke atas tanah dan adat istiadat penduduk pribumi Sabah.

Usul berkenaan akan mencadangkan Ketua Speaker DUN Sabah Salleh Ketua sebagai ketua Jawatankuasa Pilihan.

“DAP bawa usul ini sebagai susulan cadangan Salleh baru-baru ini yang mahu Kerajaan Persekutuan beri kuasa autonomi kepada Sabah dan Sarawak, kerana menurutnya kedua-dua negeri ini tidak ada kebebasan dalam membuat keputusan.

“Ini agar kedua-dua negeri merasakan bahawa mereka adalah rakan dalam Malaysia bukannya hamba penjajahan Semenanjung Malaysia,” tegas Kit Siang.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut menghimbau kes penduduk Kampung Iban yang pernah dianaya lima tahun lepas apabila 1800 ekar tanah di Landau, kawasan di mana 300 orang kampung telah bekerja di sana sejak zaman kolonial Inggeris, dirampas oleh Kerajaan negeri tanpa apa-apa kompensasi.

“Ini adalah pelanggaran tiga jaminan Batu Sumpah Keningau, hak tanah penduduk kampung sepatutnya tidak berlaku jika kerajaan negeri menghormati maksud dan semangat Batu Sumpah.

“Saya akan tulis surat kepada Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman untuk merayu agar mempertimbangkan rayuan 300 penduduk Kampung Iban agar tanah yang dirampas daripada mereka lima tahun lalu dikembalikan.

“Saya harap Ketua Menteri sudi menggunakan kedudukannya untuk memastikan tanah penduduk Kampung Iban dikembalikan secara sewajarnya beserta geran pemilikan, seiring dengan jaminan Batu Sumpah,” ujar Kit Siang lagi-Roketkini.com