KUALA LUMPUR, 9 MAC: Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia meluluskan usul tergempar berhubung ancaman kumpulan pengganas Negara Islam (IS) yang semakin berkembang di Malaysia.
Katanya, usul tersebut perlu disegerakan supaya dasar dan tatacara kerajaan mengendali ancaman pengganas dapat diketahui serta dibahaskan.
Menurutnya, pengganas IS nampaknya berjaya bertapak secara rahsia dan mengaburi pandangan pihak berkuasa termasuk merekrut anak-anak muda dan gadis berusia 14 tahun seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.
“Persoalannya sekarang mengapa tidak ada sebarang usaha daripada pihak berwajib memberikan pemahaman sebenar mengenai konsep jihad dalam Islam.
“Pemahaman mengenai situasi konflik politik di rantau terbabit (Syria dan Iraq) juga perlu dilakukan supaya anak bangsa tidak terus menjadi korban untuk tujuan-tujuan yang salah.
“Saya berharap agar permohonan dan teks usul dapat dipertimbangkan,” katanya dalam pemberitahuan bersuratnya kepada Pandikar.
Dilaporkan baru-baru ini dua pemuda dari Malaysia yang menyertai IS dikesan terlibat dalam satu rakaman video penyembelihan rakyat Syria yang dipercayai pengintip tentera Bashar al-Assad.
Dua pemuda tersebut dikenalpasti pihak polis berasal dari Kedah dan Melaka berusia awal dua puluhan.
Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas Bukit Aman mendapati salah seorang daripada pemuda ini bertolak bersama isterinya dengan keretapi melalui Bangkok dan kemudian menaiki pesawat menuju Moscow serta Istanbul sebelum masuk ke Syria.
Pakar psikologi Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom menyimpulkan bahawa pembabitan anak muda menyertai pengganas IS ini berpunca daripada keinginan untuk mencari cabaran dan makna dalam kehidupan.
Anak muda berdarah panas katanya melihat perjuangan bersama kumpulan pengganas tersebut sebagai jalan mudah menuju syurga.
“Salah erti anak muda dan ramai pihak terhadap tindakan militan dan kezaliman IS sebagai satu jihad menjadikan mereka mangsa situasi dalam keadaan konflik bersenjata berpanjangan yang melanda rantau Syria dan Iraq,” ujar Lip Eng. – Roketkini.com