KUALA LUMPUR, 9 MAC: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kini dilihat gentar setelah tempoh hari berani mengeluarkan kenyataan yang jelas menunjukkan beliau menyanggah Perdana Menteri dalam isu 1MDB.
Kenyataan terbarunya semalam menyatakan bahawa saranan beliau menyeru supaya audit menyeluruh dijalankan sambil melarang dana awam digunakan untuk menyelesaikan hutang RM 42 bilion Jumaat lalu tidak bercanggah kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataannya mendesak Muhyiddin agar tidak menarik balik kenyataan awalnya pada Jumaat lalu.
“Muhyiddin tak boleh tiba-tiba gentar pula seolah-olah dijangkiti sindrom tarik diri.
“Dia kena terus berani untuk berterus-terang bagi pertahan kepentingan rakyat dan prinsip akauntabiliti juga tadbir urus yang baik dalam mengurus skandal RM 42 bilion 1MDB,” tegas Kit Siang.
Kit Siang juga berkata bahawa situasi yang berlaku antara Najib dan Muhyiddin ini menyebabkan rakyat semakin bertanya-tanya.
“Rakyat Malaysia mahu jawapan jelas, adakah sidang kabinet Rabu lalu mengiktiraf bersihnya integriti 1MDB atau tidak?
“Jika tidak, bagaimana Pejabat Perdana Menteri keluarkan kenyataan yang berbohong tentang apa sebenarnya yang terjadi dalam mesyuarat kabinet?
“Jelas sekali dalam UMNO dan kabinet dipisahkan antara dua jalur. Mereka yang sokong kenyataan Najib Rabu lalu, dan mereka yang sokong Muhyiddin Jumaat lalu,” kata beliau.
Berikutan itu, Kit Siang menyeru menteri-menteri lain menyokong Muhyiddin dalam isu 1MDB ini.
“Ini kali pertama kita melihat menteri-menteri UMNO seperti Zahid Hamidi, Abdul Rahman Dahlan dan Khairy Jamaluddin secara terbuka menyokong kenyataan Najib.
“Namun, apakah akan ada menteri yang akan secara terbuka mendokong kenyataan Muhyiddin Jumaat lalu?” soal Kit Siang. – Roketkini.com