Berita

Teoh Beng Hock: Polis ingkar arahan mahkamah buka semula siasatan

KUALA LUMPUR. 9 MAC – Setelah enam bulan mahkamah mengarahkan Ketua Polis Negara dan Peguam Negara membuka semula siasatan terhadap pembunuhan mendiang Teoh Beng Hock, tapi sehingga kini masih tiada tindakan diambil.

Pada 5 September tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa kematian Beng Hock adalah akibat daripada beberapa kecederaan setelah jatuh dari tingkat 14 bangunan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Selangor.

Mahkamah malah berkata bahawa hal terbabit dipercepatkan oleh tindakan pihak-pihak yang tidak diketahui, termasuk pegawai SPRM yang terlibat dalam penahanan dan siasatan mendiang Beng Hock.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dalam kenyataannya hari ini mempersoalkan apa yang telah dilakukan oleh pihak polis berikutan arahan mahkamah enam bulan lalu.

“Enam bulan sudah berlalu, Ketua Polis Negara mesti menjawab kepada keluarga dan orang ramai. Apa yang telah dilakukan oleh pihak polis untuk mengenalpasti dan mendakwa pegawai SPRM yang bertanggungjawab ke atas kematian Teoh Beng Hock?” soal beliau.

Lebih mengharukan lagi, sementara tiada pendakwaan dibuat terhadap mereka yang bertanggungjawab ke atas kematian Beng Hock, salah seorang pegawai SPRM yang menyoalsiasat mendiang kini dinaikkan pangkat sebagai Pengarah SPRM Sabah.

“Laporan Surhanjaya Siasatan Diraja jelas menyebut Hishammuddin Hashim sebagai ‘ketua yang angkuh’, yang juga merupakan timbalan pengarah SPRM Selangor pada waktu itu,”

“Bagaimana seorang pegawai dengan kualiti sedemikian dirasakan sesuai untuk dinaikkan pangkat mengetuai SPRM Sabah?

“Paul Low dan Tan Sri Abu Kassim mesti memberi penjelasan,” ujar Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publsiti DAP Kebangsaan.

Hishammuddin Hashim dan dua lagi disebut dalam laporan RCI sebagai bersalah menggunakan kekerasan melampau terhadap Beng Hock.

Bukan sahaja itu, pihak RCI juga memberitahu bahawa Hishamuddin telah berbohong ketika mengatakan beliau tidak tahu tentang laporan polis terhadap pegawainya kerana menggunakan kekerasan fizikal.

RCI juga diberitahu bahawa Hishammuddin telah mengarahkan seorang pegawai SPRM untuk memberi keterangan bahawa siasatan melibatkan Beng Hock tidak diketuai olehnya, bagi menyelindung peranan Hishammuddin dalam siasatan tersebut. – Roketkini.com