Berita

Anwar tetap Ketua Pembangkang, Nurul Izzah dicadang mula perbahasan esok

KUALA LUMPUR, 9 MAC – DAP terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, selagi beliau merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan bahawa DAP tidak akan melayan sebarang pertanyaan tentang pengganti Ketua Pembangkang, kerana jawatan tersebut masih belum dikosongkan.

“Sungguh pun esok beliau tidak dapat hadir, tempat beliau untuk berbahas akan diambil oleh seorang ahli parlimen daripada PKR,” kata Guan Eng dalam sidang media di The Gardens Hotel, hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga mencadangkan supaya slot perbahasan tersebut diisi oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Ditanya pemberita kenapa DAP mencadangkan Nuru Izzah, Guan Eng berkata cadangan terbabit sesuai dengan konteks ketiadaan Anwar.

“Dalam keadaan ketiadaan Ketua Pembangkang, pembuka perbahasan dari pihak pembangkang seharusnya datang dari PKR,” jelas Guan Eng lagi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim masih merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh lantaran permohonan pengampunannya kepada Yang di Pertuan Agong masih belum selesai.

Permohonan tersebut dbuat keluarganya setelah hukuman dijatuhkan Mahkamah Persekutuan 10 Februari lalu yang boleh membatalkan keahlian Anwar sebagai anggota Dewan Rakyat.

Kedudukan Anwar sebagai Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh tidak tergugat berikutan permohonan tersebut.

Perkara ini disokong sebulat suara semua Ahli Parlimen DAP hari ini yang hadir ke majlis pembukaan Parlimen dengan berpakaian serba hitam sebagai tanda protes terhadap keengganan pihak berwajib mengizinkan Anwar hadir ke Parlimen. – Roketkini.com