Berita

DAP kecam Noh Omar, Majlis Peguam bukannya bodoh

KUALA LUMPUR, 11 MAC: DAP mengecam keras tindakan terkutuk bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar yang telah menghina Majlis Peguam di Dewan Rakyat semalam dengan mendakwa badan itu sudah tersasar jauh serta telah menjadi jurucakap pembangkang.

Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar berkata, kenyataan Noh ketika membawa Usul Menjunjung Kasih ucapan Yang Dipertuan Agong jelas sama sekali tidak berasas dan mempunyai niat jahat untuk memburukkan imej Majlis Peguam.

“Kenyataan Noh itu cukup menghina dan menggugat maruah organisasi tersebut, beliau berhujah seolah-olah majlis peguam adalah bodoh dan diperalatkan pihak pembangkang.

“Majlis Peguam mungkin mempunyai pendapat atau pandangan yang sealiran dengan pihak pembangkang dalam beberapa isu tapi ia tidak bermakna mereka adalah jurucakap kami.

“Teguran, pandangan, bantahan mahupun tindakan badan itu adalah sejajar dengan amalan demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kebebasan bersuara, berpersatuan serta berhimpun,” katanya dalam satu kenyataan.

Setiausaha Antarabangsa DAP itu juga menegaskan, tindakan Majlis Peguam mempersoalkan badan kehakiman dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak harus dianggap sebagai menghina mahkamah.

Katanya, kritikan mereka adalah untuk menjaga kesucian badan kehakiman negara daripada diperalatkan oleh pihak tertentu demi kepentingan politik.

“Noh harus sedar bahawa Majlis Peguam bertanggungjawab menjaga nama baik dan integriti badan kehakiman.

“Ini penting untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman kita,” ujarnya.

Sivakumar yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak turut menyatakan bahawa pihak kerajaan termasuk Noh seharusnya menerima teguran membina daripada Majlis Peguam.

Justeru itu, beliau mendesak Noh supaya memohon maaf kepada Majlis Peguam kerana dakwaan jahatnya.

Ketika membawa Usul Menjunjung Kasih ucapan Yang Dipertuan Agong semalam, Noh telah mengambil kesempatan untuk menyerang Majlis Peguam secara bertubi-tubi.

Antara tuduhan yang dilemparkan olehnya termasuklah mempersoalkan integriti badan itu dengan menuduh berlaku penipuan dalam pemilihan jawatankuasanya dan menyifatkannya sebagai ‘anti-establishment’.

Noh turut memberi cadangan kepada Dewan Rakyat untuk meluluskan undang-undang baru supaya diwujudkan satu lagi badan peguam untuk melumpuhkan Majlis Peguam sedia ada. – Roketkini.com