Berita

Himpunan Kita Lawan: Ketua Pemuda DAP ditahan ketika hadir beri keterangan polis

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Teo Kok Seong hari ini telah ditahan pihak polis dengan serta-merta sebaik beliau hadir di IPD Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung penyertaannya dalam Himpunan 307 Kita Lawan pada 7 Mac lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah tiba di IPD pada jam 11 pagi tadi ditemani peguamnya Wong Kah Woh dan pimpinan DAP lain.

Menurut Wong Kah Woh, polis telah mengesahkan penahanan Teo.

“Teo telah ditahan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Antara pimpinan yang hadir memberi sokongan kepada Teo adalah Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan lain-lain lagi.

Selepas kejayaan Himpunan 307 Kita Lawan pada 7 Mac lalu, polis telah menahan reman Ketua Angkatan Muda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad selama tiga hari sebelum dibebaskan pada 11 Mac lalu.

Teo merupakan pemimpin keenam Pakatan Rakyat ditahan selepas Nik Nazmi, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dan beberapa pimpinan lainnya.

Himpunan 307 Kita Lawan baru-baru ini yang berjaya menghimpunkan lebih 10,000 rakyat telah diadakan bagi mendesak pembebasan Ketua Pembangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim selain menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengundurkan diri. -Roketkini.com