Berita

Ketua Wartawan Penyiasat Sarawak Report akan sertai forum 1MDB, Ahad ini

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Forum ‘1MDB: Berakhirnya Sebuah Kejatuhan’ yang akan diadakan di Crystal Crown Hotel, Ahad ini, akan turut disertai oleh Ketua Wartawan Penyiasat Sarawak Report Clare Rewcastle, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Justeru itu, beliau berharap orang ramai dapat hadir Ahad ini bagi mendengar sendiri segala pendedahan dan bukti tentang penyelewengan 1MDB dari Clare melalui persidangan video.

“Forum Ahad ini adalah terbuka dan percuma kepada semua orang.

“Siapa tahu Clare akan menunjukkan atau mendedahkan bukti baru dalam sesi persidangan video nanti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara panelis lain yang akan turut serta dalam forum jam 3 petang itu selain Tony adalah Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan akan dimudahcara oleh Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel.

Sarawak Report telah membongkar bukti-bukti penting mengenai 1MDB sebelum ini seperti dokumen rahsia dan perbualan emel yang membabitkan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak

Menurut Tony, mereka juga memainkan peranan cukup besar sehingga akhirnya memaksa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengalah dan mengarahkan Ketua Audit Negara mengaudit syarikat tersebut.

Kata Setiausaha Publisiti DAP itu lagi, pendedahan Sarawak Report juga hadir pada waktu yang tepat disaat 1MDB berada dalam kesukaran kewangan setelah hampir gagal membayar hutang RM2 bilion mereka walaupun telah melanjutkan tempoh akhir sebanyak tiga kali.

“1MDB terpaksa mendapatkan pinjaman dari jutawan misteri dan tidak pernah dinafikan bahawa individu itu adalah Tan Sri Ananda Krishnan.

“1MDB juga telah menerima suntikan dana ‘bail-out’ dari Kabinet untuk mengurangkan masalah kecairan.

“Sarawak Report turut telah mematahkan sebarang penafian bahawa Jho Low tidak terlibat dalam penipuan di belakang syarikat itu yang mempunyai hutang terkumpul berjumlah RM42 bilion dalam masa 5 tahun,” ujarnya.

Bagi yang berminat untuk mengikuti pendedahan terbaru dari Sarawak Report dan kedua-dua Ahli Parlimen PR terbabit namun tidak dapat hadir, boleh turut menonton secara langsung di Ubah.TV. -Roketkini.com