Berita

Pemuda Pakatan desak polis henti tangkap aktivis #KitaLawan, anggap polis buli rakyat

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Tindakan pihak polis menangkap aktivis-aktivis perhimpunan #KitaLawan 7 Mac lalu hari ini diselar seluruh pemuda Pakatan Rakyat kerana mencabul hak asasi rakyat untuk berhimpun.

Dalam kenyataan yang ditandatangani oleh Ketua DAPSY Teo Kok Seong, Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kayat, mereka mendesak polis menghentikan tangkapan aktivis perhimpunan berkenaan.

“Polis wajib hentikan pencabulan hak asasi rakyat untuk berhimpun, dan mereka mesti kembali menjunjung perlembagaan.

“Kami anggap penangkapan kami dan rakan-rakan NGO lain sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan yang beri hak semua warganegara untuk berhimpun dengan aman di mana-mana,” kenyataan itu dipetik.

Ekoran dari perhimpunan #KitaLawan di Pasaraya Sogo awal Mac lalu, pihak polis telah menangkap beberapa orang dari ahli politik pembangkang, aktivis NGO dan mahasiswa. Mereka termasuklah Nik Nazmi, Kok Seong, dan aktivis muda Adam Adli. Mereka ditahan ketika datang ke balai polis untuk memberikan kenyataan apabila diminta berbuat demikian oleh pihak polis.

Menyifatkan tindakan itu cubaan mengugut rakyat ia juga dilihat sebagai satu tindakan buli pihak polis terhadap rakyat yang mahu menyuarakan suara hati mereka tanpa ada apa-apa sekatan.

“Kesemua kami ditahan dibawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

“Undang-undang ini digunakan secara semberono seperti mengikut arahan pihak tertentu untuk mengugut, membuli, menakut-nakutkan serta menyusahkan kami dan rakan-rakan.

“Kami adalah warganegara merdeka, bukannya penjenayah,” tambah kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, pemuda Pakatan mendesak pihak polis untuk melepaskan semua tahanan bersangkutan perhimpunan #KitaLawan dan menghentikan tindakan berat sebelah terhadap rakyat yang berlainan pandangan dengan kerajaan.

“Kami ulangi gesaan agar pihak polis khususnya Ketua Polis Negara Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar segera hentikan pembulian dan pencabulan terhadap hak asasi kami dan rakan-rakan ketika ini, kerana kami adalah warga merdeka.

“Kami juga mendesak agar semua tahanan-tahanan berkaitan perhimpunan #KitaLawan yang masih ditahan dilokap, segeralah dibebaskan,” tegas kenyataan itu lagi.-Roketkini.com