Rencana

Ulangtahun DAP dan hudud

Hari ini tanggal 18 Mac, Parti Tindakan Demokratik atau DAP berusia 49 tahun. Hanya setahun lagi untuk genap usia separuh abad.

Sepanjang hampir 50 tahun para pemimpin dan ahli DAP bergelumang dan menderita dengan tekanan politik, penindasan dan kezaliman pemerintah, semata-mata kerana mahu menegakkan demokrasi, keadilan dan peluang saksama.

Hari ini juga 18 Mac, Parti Islam SeMalaysia atau PAS membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau lebih popular dengan panggilan hukum hudud di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Dan sehingga pagi tadi, tiada siapa yang tahu isi kandungan pindaan hukum hudud itu.

Walaupun dirayu oleh DAP dan PKR agar ia tidak diteruskan kerana ia bakal memecahbelahkan Pakatan Rakyat, ia tidak diendahkan oleh pimpinan PAS Kelantan.

Agak tragis memikirkan kemungkinan hancurnya Pakatan Rakyat – yang kini menjadi satu-satu pencabar serius terhadap kerajaan Barisan Nasional untuk mewujudkan sebuah kerajaan baru yang bersih, jujur dan telus tanpa perlu ada rasuah, salahguna kuasa dan ekstrem – di saat genting di mana UMNO-BN yang mengalami skandal, krisis dan kemelut yang paling teruk boleh ditumbangkan dengan undi rakyat.

Bagi DAP, ia tetap konsisten dan berprinsip dalam pendiriannya bahawa hudud serta pelaksanaannya adalah bertentangan dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan juga melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun di peringkat negeri memang ia menjadi hak mana-mana kerajaan untuk menggubal atau meminda undang-undang, apabila ia menyentuh hak Persekutuan, ia memerlukan pindaan Perlembagaan. Apabila ini berlaku ia akan mengubah dasar dan struktur asas kontrak sosial negara, dan ia bakal melibatkan semua rakyat tanpa mengira gender, kaum, agama dan kedudukan.

Atas dasar ini ramai pemimpin dan ahli DAP tertanya-tanya mengapa begitu ghairah PAS Kelantan mahu membentangkan pindaan undang-undang tersebut, apatah lagi dalam keadaan yang kabur.

Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Gobind Singh Deo bulan lalu telah memohon kepada PAS Kelantan agar memaklumkan butir-butir enakmen tersebut, namun tidak mendapat jawapan.

PAS juga, katanya, enggan menunjukkan rang undang-undang persendirian yang ingin dibentangkan di Parlimen untuk cadangan pindaan Perlembagaan, walaupun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri memohon untuk melihat draf berkenaan.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali pula menegaskan bahawa hudud memang bukan dasar bersama Pakatan, malah jelasnya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri telah menyatakan undang-undang tersebut tidak perlu disegerakan kerana ia bukan dasar bersama pakatan.

“Dasar Pakatan ialah isu ekonomi, pendidikan dan keselamatan perlu ditangani dahulu untuk menjamin kesejahteraan rakyat,” kata beliau yang mengulangi pendirian yang hampir sama dengan DAP.

Memang menyedihkan bagi para pemimpin dan ahli DAP serta penyokong parti yang selama ini bermati-matian berjuang demi menghasilkan satu masyarakat yang lebih adil, terbuka dan bertolak ansur. Atas perjuangan inilah ramai pemimpin dan ahli DAP terpaksa merengkok di dalam penjara bermotifkan politik serta menjadi mangsa tahanan tanpa bicara sepanjang hampir separuh abad yang lalu.

DAP tidak malu mengakui bahawa ia adalah parti politik berteraskan sosial demokrasi yang berasaskan kebebasan, keadilan, peluang dan hak saksama, dan solidariti.

Ideologi DAP berpaksikan kepada asas Perlembagaan Persekutuan 1957 yang bersifat sekular, yakni tidak mempergunakan agama untuk kepentingan politik atau mempolitikkan agama, melainkan berlaku adil kepada semua agama dan kaum.

Mungkin isu enakmen hudud di Kelantan ini adalah hadiah harijadi untuk DAP, iaitu sebagai satu peringatan yang serius. Ia mengingatkan DAP bahawa berjuang atas prinsip adalah soal suka-suka, ia pedih dan menyakitkan, dan memang tidak ramai yang mampu merentasi siksaan tekanan dan kezaliman kuasa.

Namun jika perjuangan yang pedih itu berhasil – di mana masyarakat dan individu lebih toleran dan terbuka, tiada lagi rasa was-was antara satu sama lain, tidak lagi menjadikan kaum dan agama sebagai ukuran, pihak berkuasa tidak lagi mencengkam rakyat – ia adalah hadiah kepada impian rakyat Malaysia.

Selamat bersiap sedia untuk menyambut harijadi yang ke-50 tahun depan, DAP. – Roketkini.com