Berita

KPN perlu sahut seruan Tun Mahathir, buka semula kes pembunuhan Altantuya

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu menyahut seruan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir agar segera mengumumkan status siasatan dan membuka semula kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, sebelum ini pada 18 Februari lalu, beliau telah menyeru Khalid memulakan siasatan serta merta demi kepentingan awam, tapi malangnya sehingga kini tidak ada sebarang jawapan diberikan.

“Adalah mengejutkan bahawa KPN telah gagal, cuai dan enggan menyiasat tuntutan yang serius oleh Sirul walapun laporan polis telah dibuat berkaitan perkara sama termasuk dari Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng pada 19 Februari lalu.

“Ini termasuk gesaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang mahu mengetahui siapakah yang mengarahkan pembunuhan mengerikan itu.

“Beliau harus melakukannya berikutan rasa tidak puas hati yang semakin meningkat kerana kegagalannya untuk berbuat demikian,” kata Ramkarpal dalam satu kenyataan, hari ini.

Tun Mahathir dalam ulasan di laman blognya semalam menulis bahawa kenyataan Sirul yang hanya menjalankan arahan ketika membunuh Altantuya perlu disiasat.

Kata Tun Mahathir, perkara itu melibatkan nyawa manusia, dan amat zalim sekiranya Sirul dibiarkan menjalani hukuman mati hanya kerana menjalankan arahan.

“Rakyat tertanya-tanya siapa yang memberi arahan.

“Sebagai pengawal peribadi Datuk Sri Najib (Razak), dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapa yang memberi arahan,” kata Tun Mahathir. – Roketkini.com