Berita

Selepas SST dimansuhkan, mengapa harga petrol RON97 tak turun?

KUALA L.UMPUR, 3 APRIL: Selepas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) RM 0.58 sen dimansuhkan akibat pelaksanaan cukai barangan dan perkhdmatan (GST), harga petrol RON97 masih tidak diturunkan kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Kata Teresa ini kerana Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan dua hari lalu menyatakan bahawa harga petrol RON97 bagi April 2015 adalah sama seperti Mac 2015, yang termasuk didalamna enam peratus cukai GST.

“Secara logik, RON 97 lebih mahal dengan penguatkuasaan GST pada bulan April tanpa faktor lain, dan harga kekal tidak berubah.

“Sedangkan, RON 97 seharusnya menjadi lebih murah kerana dengan GST, cukai SST yang berjumlah RM 0.58 sen bagi setiap telah dihapuskan,” kata Teresa dalam satu kenyataan.

Pada 7 Jun 2012, bekas Menteri Perdagangan, Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cukai jualan RM 0.58 sen setiap liter hanya dikenakan keatas RON 97, bukannya keatas RON 95.

Semenjak kenyataan Ismail Sabri itu, tidak ada sebarang pengumuman mengenai pengeluaran cukai jualan ini keatas petrol RON 97.

“Dengan pengenalan GST mulai 1 April, SST tidak lagi boleh dikenakan. Dengan GST yang lebih rendah dari RM 0.58 sen setiap liter, maka harga baru RON 97 sepatutnya menjadi lebih murah.

“Justeru itu mengapa harga RON 97 untuk April tidak berubah? soal Teresa.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan telah memansuhkan cukai SST RM 0.58 sen setiap liter, dalam masa sama GST juga dikenakan dengan jumlah sama.

“Adakah terdapat faktor lain yang mengakibatkan harganya pada April kekal? Jika demikian, mengapa pula harga petrol RON 95 tidak terjejas ?

“Datuk Ahmad Maslan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri , Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek perlu menjelaskan kepada orang ramai mengapa harga petrol RON 97 tidak diturunkan,” tegas Teresa. – Roketkini.com