Berita

POTA: DAP gesa kerajaan tidak ketepi suara pembangkang

GELANG PATAH, 6 APRIL: DAP mendesak Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi tidak mengenepikan suara pembangkang dalam melaksanakan undang-undang anti keganasan yang dilihat cuba menghidupkan kembali kuasa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kebimbangan itu dibangkitkan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang menyifatkan pelaksanaan undang-undang anti keganasan itu sebagai usaha menghidupkan undang-undang yang membolehkan penahanan tanpa perbicaraan.

“Saya agak terganggu dengan sikap mudah Zahid apabila dia membawa Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan(POTA) dan mengatakan pembangkang akan terima POTA dan jika ada penolakan ia mesti datang dari kalangan aktivis dan peguam hak asasi manusia.

“Zahid silap jika dia fikir Pakatan membantah militan Islamic State (ISIS) dan ektremisme Islam, dia boleh sesuka hati laksana undang-undang anti keganasan tanpa mengambil kira suara pembangkang dan gerakan sivil lain,” ujar Kit Siang.

Kit Siang berkata, tindakan Zahid yang mengenepikan suara pembangkang dan pihak-pihak lain adalah tindakan monopoli suara dalam membuat dasar negara.

“Zahid mesti sedar Barisan Nasional tidak ada monopoli terhadap patriotisme, bahkan kerajaan BN sebenarnya adalah kerajaan minoriti apabila hanya dapat 47 peratus sokongan rakyat,” ulasnya.

Melihat kepada fakta itu sahaja, Zahid perlu memikirkan untuk mengambil kira suara pembangkang dan gerakan sivil sebelum mengumumkan undang-undang kontroversi itu.

“Jaminan Zahid bahawa ancaman ISIS dan ekstremisme Islam dalam kawalan, tetapi nampaknya laporan mutakhir mengatakan sebaliknya.

“Kenapa polis gagal beri laporan susulan berkala kepada semua ahli parlimen sama ada mereka berjaya atau gagal dalam hal ini?”soalnya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menambah, melawan keganasan tidak akan dapat dimenangi hanya dengan melaksanakan undang-undang jika sebab utama radikalisasi dan aktiviti pengambilan tidak diberikan perhatian.

Justeru itu ujarnya, di samping melaksanakan undang-undang, kerajaan wajib memasukkan suara pembangkang dan mendebatkan sebab utama ini secara tuntas dalam jawatankuasa pilihan parlimen.

“Inilah subjek yang harus dibahaskan dan dikaji Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai keganasan.

“Menghidupkan semula kuasa ISA yang membolehkan penahanan tanpa bicara selama dua tahun adalah satu peruntukan yang paling hina dan keji apabila tidak ada perlindungan atau peruntukan terhadap penyelewengan mereka.

“Menteri Dalam Negeri mesti membenarkan proses perundingan dengan semua ahli Parlimen Pakatan dan juga masyarakat awam sebelum usulkan undang untuk dilaksanakan dalam negara,”tegas beliau lagi. – Roketkini.com