Berita

Rang undang-undang hudud bakal dibentang, Hadi mungkir janji

KUALA LUMPUR, 7 APR – Kemunculan rang undang-undang (RUU) persendirian oleh Presiden PAS Datuk Seri Hadi Abdul Hadi Awang bagi melaksanakan undang-undang hudud dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat minggu ini memberi kejutan besar.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, kemunculan RUU tersebut menunjukkan bahawa Ahli Parlimen Marang itu memungkiri janjinya kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat pada 8 Februari lalu.

Ini merupakan kali pertama rakan-rakan Pakatan Rakyat daripada DAP dan PKR melihat RUU tersebut setelah mesyuarat terakhir Majlis Pimpinan yang dipengerusikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat memutuskan, sebarang pindaan terhadap enakmen hudud Kelantan serta RUU persendirian berkait hal terbabit mesti dibincangkan terlebih dahulu.

“Kita amat terkejut. Janjinya telah dimungkiri berikutan apa yang kita lihat hari ini,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam sidang media di lobi parlimen.

“Ini kali pertama kami melihatnya. Hadi berjanji pada 8 Februari bahawa sebarang usul RUU persendirian mesti dikemukakan kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat,” kata Kit Siang kecewa.

Namun kata Kit Siang, beliau sangsi RUU tersebut akan dibentangkan, memandangkan ia tersenarai sebagai perkara terakhir untuk dibahaskan bagi sidang yang bakal ditangguhkan Khamis ini.

“Selalunya mengikut prosiding Parlimen, urusan rasmi didahulukan. Parlimen akan sibuk (dengan urusan rasmi) sehingga hari Khamis,” ujar beliau sambil menegaskan bahawa DAP tetap tidak menyokong RUU tersebut.

BN belum nyatakan pendirian

Dalam pada itu, pendirian BN berkenaan pelaksanaan undang-undang hudud dipersoalkan, memandangkan RUU tersebut mungkin bakal dibahas di Parlimen setelah sekian lama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berdiam diri berhubung hal tersebut.

Presiden MCA Liow Tiong Lai sebelum ini yakin Perdana Menteri akan memberi kenyataan mengenai hal tersebut sehari selepas pindaan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan diluluskan, dengan sokongan ADUN Umno di Kelantan.

“Mana kenyataan Perdana Menteri seperti yang dijanjikan pimpinan MCA?” soal beliau sambil menyifatkan pergelutan Perdana Menteri untuk menyatakan pendirian UMNO berhubung hudud ibarat ‘ibu mengandung yang keguguran kandungannya’.

RUU persendirian Hadi dikemukakan ke Parlimen pada 18 Mac, sehari sebelum pindaan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan diluluskan secara sebulat suara.

RUU tersebut bakal meminda peruntukan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)1965 bagi membolehkan pelaksanaan hukuman lebih berat oleh mahkamah itu menurut pindaan terbaru enakmen hudud di Kelantan. – Roketkini.com