Berita

Debat POTA: DAP hadir dengan kekuatan maksima

KUALA LUMPUR, 8 APR – 35 daripada 37 Ahli Parlimen DAP telah hadir semasa pengundian pada bacaan kedua Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan 2015.

Angka itu diberikan oleh Ketua Whip Ahli Parlimen DAP Anthony Loke dalam satu kenyataan berikutan kritikan yang dihamburkan terhadap Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang didakwa gagal menghalang undang-undang ala ISA itu daripada diluluskan.

“Tiga wakil DAP telah membahaskan RUU tersebut secara bersungguh-sungguh pada peringkat dasar iaitu Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo.

“Selain itu, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng juga mencadangkan beberapa pindaan dalam peringkat jawatankuasa terhadap RUU tersebut,” ujar Ahli Parlimen Seremban tersebut.

Menurut beliau yang juga Setiausaha Organisasi DAP, dua Ahli Parlimen DAP yang tidak dapat hadir pada hari tersebut ialah Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong.

Kedua-dua mereka berada di Australia pada hari tersebut untuk lawatan yang telah dirancang sebelum ini.

Kit Siang turut hadir

“Saya juga ingin memperbetulkan laporan media yang telah melaporkan bahawa Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang tidak hadir sepanjang hari Isnin lepas.

“Sebenarnya, Ahli Parlimen Gelang Patah tersebut berada dalam Dewan pada ketika pengundian dan mengambil bahagian dalam proses tersebut. Namun, beliau terpaksa meninggalkan Dewan selepas itu kerana berasa kurang sihat,” jelas beliau.

“Saya ingin menegaskan dan memberi komitmen kepada rakyat Malaysia bahawa semua Ahli Parlimen DAP amat komited dan serius dalam tugas dan tanggungjawab kami untuk mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dalam semua proses perundangan di Dewan Rakyat,” katanya tegas.

Perbahasan RUU Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) tamat sekitar jam 2.30 pagi semalam setelah berlangsung lebih 12 jam.

RUU tersebut lulus dengan sokongan 79 Ahli Parlimen Barisan Nasional, manakala 64 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menentangnya. – Roketkini.com