Berita

DAP desak SESB beri penjelasan kehilangan pendapatan berbilion ringgit

KOTA KINABALU, 9 APRIL: DAP menuntut Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memberi penjelasan terhadap ‘kehilangan’ sejumlah pendapatan mereka sebanyak RM1.4 billion.

ADUN Likas Junz Wong berkata, SESB memperoleh pulangan lumayan sebanyak RM1.4 billion pada tahun 2013, namun hanya mengisytiharkan perolehan selepas cukai sebanyak RM13.8 juta, kurang 1 peratus hasil pendapatan.

“Ini adalah wang yang dikutip dari pengguna di Sabah termasuk sumbangan modal dari pemaju.

“Kami ingin tahu kemana pergi RM1.4 bilion yang dipungut sebelum ini?

“Bagaimana ia dibelanjakan hingga berbaki kurang dari keuntungan 1 peratus?” soal Junz dalam satu kenyataan.

Menurutnya, SESB memberikan alasan tidak mampu mendapat modal mencukupi bagi membiayai pembangunan infrastruktur bekalan elektrik dan mengatakan perniagaan mereka sukar mendapat keuntungan.

“Dengan hasil pendapatan yang begitu besar, kita hairan mengapa SESB mendakwa mereka perlukan sumbangan modal dan tariff elektrik lebih tinggi untuk mengekalkan perniagaan utiliti yang dimonopoli ini.

“Berapa banyak lagi syarikat-syarikat di Sabah mampu memperoleh pendapatan yang begitu tinggi seperti ini?

“Saya tak percaya ada syarikat lain di Sabah yang mampu memperoleh pendapatan sedemikian.

“Lebih-lebih lagi, pendapatan yang sebegitu besar dibenarkan dalam perniagaan yang dimonopoli,” kata Junz.

Setiausaha Organisasi DAP Sabah itu percaya SESB mampu memperoleh pendapatan besar setiap tahun dan mendesak syarikat tersebut bersikap telus dengan membuktikan bahawa hasil diperolehi digunakan dengan bijak, sesuai tariff elektrik yang tinggi.

“SESB perlu telus dan mendedahkan akaun mereka kepada umum atau dinaiktaraf kepada syarikat BERHAD.

“Jadi, mereka tidak perlu lagi berselindung disebalik Sdn Bhd dan semua orang boleh meneliti perbelanjaan mereka.

“SESB sebagai syarikat memonopoli perniagaan perbekalan utiliti mempunyai tanggungjawab sosial untuk memastikan rakyat Sabah tidak dikenakan caj berlebihan,” kata Junz sambil menambah, SESB gagal memberikan jawapan sehingga hari ini.

“Atau apakah kerana SESB takut ia tidak akan memperoleh geran sebanyak RM2.3 bilion bagi lima tahun akan datang?” soalnya. – Roketkini.com