Berita

“Kenapa undang-undang diluluskan pada waktu orang tidur?”

SUBANG JAYA, 9 APR: “Kenapa undang-undang diluluskan pada waktu orang tidur?”

Demikian soalan dibangkitkan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh mengulas fenomena tidak masuk akal, iaitu perbahasan meleret dan tidak produktif di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian merujuk perbahasan Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) yang berakhir dengan pengundian pada jam 2.25 pagi Selasa lalu.

“Bolehkah seseorang itu menjadi produktif duduk di Parlimen dari jam 10 pagi hingga 2 pagi keesokannya?

“(Dan adakah dengan lewat pagi sebegitu) mereka dapat membahaskan RUU penting yang akan memberi kesan kepada seluruh negara?

“Wakil rakyat bukan robot, kata ADUN Subang Jaya itu, dipetik dari kiriman di laman Facebooknya.

Kata Hannah, kelulusan POTA itu dipercayai sebagai satu usaha menghidupkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA).

Ujarnya, Parlimen tidak perlu tergesa-gesa meluluskan undang-undang itu kerana proses pelaksanaannya juga memerlukan waktu oleh agensi berkaitan.

“Persoalan yang sebenar harus kita tanyakan adalah, kenapa undang-undang negara mahu diluluskan secara tergesa-gesa di waktu yang orang sepatutnya tidur?” soal Hannah. – Roketkini.com