Berita

Pindaan Akta Hasutan: Malaysia patut letak jawatan kerusi Majlis Hak Asasi PBB

KUALA LUMPUR, 9 APR: Kerajaan Malaysia dicadangkan untuk meletakkan jawatandari menjadi ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kata Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng.

“Bagaimana sebuah negara yang menjadi ahli hak asasi, bila mana mereka sendiri tidak menghormatinya?

“Saya cadangkan Malaysia supaya meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Hak Asasi.

“Berhentilah memalukan negara di mata dunia,” kata Guan Eng ketika berucap dalam perbahasan pembacaan kali kedua Pindaan Akta Hasutan 1948, hari ini.

Ujarnya, pindaan Akta Hasutan 1948 oleh kerajaan UMNO-BN jelas merupakan serangan terhadap hak asasi seluruh rakyat Malaysia.

“DAP membantah dan mengutuk pindaan yang dicadangkan. Pengukuhan keras undang-undang menjijikkan adalah tindakan pengkhiatanan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Daripada memenuhi janjinya yang dibuat pada malam Hari Malaysia 2011, dan diulangi dua kali (Julai 2012 dan temubual BBC), Najib nampaknya memilih untuk tidak menunaikannya.

“Ini bukti nyata pengkhianatan UMNO-BN. Mereka langsung tidak ada tradisi bela rakyat, tapi tradisi temberang rakyat,” kata Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Tegasnya, melalui pindaan ini, rakyat sedar sikap sebenar UMNO-BN yang mempergunakan segala undang-undang untuk kepentingan mereka.

“Abraham Lincoln pernah berkata, ‘jika anda mahu menguji perwatakan seseorang, berikan kuasa kepadanya.

“52 peratus rakyat sudah tidak memberikan sokongan kepada BN, tak hairan 48 peratus yang menyokong mereka pula mempersoalkan apakah ada gunanya memberi dukungan kepada kerajaan yang tidak menunaikan janji?

“Dan yang terpenting adalah serangan kepada peranan Malaysia sebagai ahli dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata Guan Eng.

Pindaan Akta Hasutan sebelum ini memasukkan dua seksyen baru, iaitu 5A dan 5B yang tidak membenarkan ikat jamin jelaskan merupakan satu pengkhianatan kepada rakyat.

Namun difahamkan, Putrajaya meminda beberapa peruntukan dalam pindaan tersebut dengan membuang klausa menyatakan bahawa hasutan adalah kesalahan yang tidak boleh diikat jamin.

Ini berikutan bantahan keras dari Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan penyokong kerajaan sendiri.

Tambah Setiausaha Agung DAP itu, pindaan tersebut jelas merupakan serangan terbuka kepada rakyat yang merangkumi 10 perkara utama.

Antaranya serangan terhadap hak asasi manusia terutama kebebasan menyatakan pandangan dan bersuara yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Perlembagaan Persekutuan.

“Serangan ke atas kebebasan akhbar terutama media atas talian kerana ia akan membenarkan kerajaan menutup suara bebas media. Perkara ini telah mereka lakukan.

“Serangan ke atas kedaulatan undang-undang dan serangan ke atas badan kehakiman di mana penetapan hukuman minimum tiga tahun penjara adalah gangguan kepada budi bicara kehakiman,” tegasnya.

Enam perkara lagi yang dinyatakan beliau adalah serangan ke atas Parlimen dan proses Parlimen, terhadap tingkah laku terpuji ke atas inovasi dan kreativiti, masa depan negara serta pihak pembangkang. – Roketkini.com