Berita

DAP gesa kerajaan Sabah selesaikan segera masalah bekalan air

KOTA KINABALU, 16 APR: DAP mengecam tindakan Menteri Pembangunan Insfrastruktur Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang tidak memenuhi janjinya untuk menangguh penstrukturan semula tarif air di negeri itu.

ADUN Sri Tanjong Chan Foong Hin berkata, kegagalan tersebut telah menyebabkan pengguna komersial dan industri terpaksa menanggung kadar kenaikan yang sangat tinggi sehingga 70 peratus.

Menurut Foong Hin, berdasarkan laporan Oversea Chinese Daily News pada 23 Januari lalu, menteri menyatakan kerajaan negeri akan menangguhkan penstrukturan semula tarif air selaras keputusan kerajaan Persekutuan menangguhkan kenaikan tarif elektrik tahun ini.

“Persoalannya mengapa beliau tidak menunaikan janji tersebut dan kesemua pengguna komersial dan industri terus menerima bil air beribu-ribu untuk penggunaan selama tiga bulan?

“Penstrukturan semula tarif air sepatutnya bukan bermaksud menambahkan beban tetapi pengurangan beban rakyat termasuk golongan peniaga jikalau kadar Non Revenue Water (NRW) dapat dikurangkan,” katanya dalam perbahasan Ucapan Dasar Kerajaan di mesyuarat pertama penggal ketiga sidang Dewan Undangan Negeri Sabah yang ke 14, kelmarin.

Gangguan bekalan air di Tawau semakin meruncing

Naib Pengerusi DAP Sabah itu juga menggesa kerajaan negeri menyelesaikan segera masalah bekalan air terutama di kawasan Tawau yang semakin membimbangkan sejak awal tahun ini.

Katanya, gangguan bekalan air bukan saja berpunca oleh gangguan elektrik, cuaca juga merupakan faktor penting dalam menentukan kadar bekalannya di Tawau.

Namun anehnya, dua loji rawatan iaitu Loji Utara tidak dapat beroperasi sepenuhnya jika musim kemarau tiba, manakala Loji Cinta Mata pula tidak dapat berfungsi apabila musim hujan yang mengakibatkan kandungan lumpur di sungai meningkat dan air tidak dapat dirawat.

“Ini bermaksud tidak kira musim hujan atau kemarau, Tawau tetap mengalami masalah kekurangan bekalan air.

“Kawasan-kawasan tinggi dan jauh yang selalu menghadapi masalah kekurangan bekalan air ialah di Sin Onn Tiku, Tinagat, Taman Semarak, Bandar Sri Indah dan lainnya.

“Apa yang menakjubkan, kampung Gudang Empat yang terletak di depan Loji Cinta Mata pun tidak ada bekalan air selama berminggu-minggu sejak awal tahun ini.

Beliau turut mendesak Kerajaan Negeri agar mempercepatkan pembinaan empangan air supaya ia nantinya dapat membekalkan air dalam kapasiti mencukupi bagi kadar penggunaan 6 bulan tanpa mengira musim hujan atau kemarau.

Joseph Pairin dalam sidang DUN lalu mendakwa empangan air Tawau di Cinta Mata, Merotai, dijangka akan memulakan kerja pembinaan bulan ini.

“Tapi lawatan beliau ke tapak pembinaan bulan lalu menyatakan sebaliknya iaitu projek tersebut akan bermula akhir tahun pula.

“Semakin lambat kerja dimula dan disiapkan, semakin bertambahlah kos perbelanjaan sesebuah projek.

“Jika masalah kekurangan 40 peratus bekalan elektrik di Pantai Timur hanya akan diatasi 5 tahun akan datang, masalah gangguan bekalan bekalan air akan terus tertunda.

“Maka dimana rakyat boleh meletakkan kepercayaan mereka kepada kerajaan?” soal Foong Hin. – Roketkini.com