Berita

Himpunan 1 Mei di Sabah hari ini diteruskan

KOTA KINABALU 1 MEI: Perhimpunan aman 1 Mei, anjuran Bersih Sabah bersama 40 NGO lain diteruskan seperti yang dirancang bermula jam 3 petang hingga 5 petang di Padang Merdeka Kota Kinabalu.

Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Mayday Sabah Jannie Lasimbang merangkap Pengerusi Bersih Sabah.

Menegaskan kenyataannya, perhimpunan hari ini adalah secara aman dan orang ramai dinasihatkan mengikut arahan marshal yang ditugaskan.

“Himpunan hari ini adalah untuk mengetengahkan beberapa tuntutan rakyat Sabah iaitu batalkan IC palsu, bersihkan daftar pemilih, mansuh seksyen 9A Akta Pilihanraya, selesaikan isu PATI dan isu-isu berkaitan Sabah,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sabah menyatakan sokongan, manakala bagi yang tidak dapat bersama di Padang Merdeka boleh memakai baju kuning, dan memuat naik gambar masing-masing di laman sosial sebagai tanda sokongan.

Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong Sze Phin pula berkata DAP negeri turut bersama-sama memberi sokongan kepada acara ini.

“Hak bersuara dan berhimpun secara aman adalah hak rakyat yang dijamin perlembagaan.

“Bagi mereka yang turun ke himpunan ini dinasihatkan tidak terpengaruh dengan kemungkinan sebarang provokasi. Kita mahu semuanya aman.

“Himpunan ini hanya dua jam sahaja,” kujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu.

Sebelum ini seramai 16 pemimpin politik, NGO dan individu di halang berada di lima buah kawasan di sekitar Kota Kinabalu.

Bagaimanapun difahamkan, perintah mahkamah tersebut didapati telah luput semalam. – Roketkini.com