Berita

CEO 1MDB menyorok di sebalik ‘kerahsiaan perbankan’ – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Ahli Parlimen Petaling Jaya Tony Pua menyelar alasan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kandasamy yang enggan menjawab isu hutang 1MDB RM 3.6 bilion dengan beberapa bank luar negara atas sebab ‘kerahsiaan perbankan’.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu menyifatkan kengganan Arul menjawab soalan mengenai hutang luar negara itu tidak bertanggungjawab sedangkan spekulasi terhadap 1MDB semakin kuat.

“Arul memilih untuk guna alasan tak masuk akal ‘kerahsiaan perbankan’ untuk menutup semua hal berkaitan(hutang 1MDB).

“Rakyat Malaysia tidak minta Arul Kanda dedahkan perjanjian pinjaman.

“Mereka hanya berminat untuk tahu jika 1MDB dapat memenuhi kewajipan kewangan dan menepati waktu bagi membayar semula USD 975 juta (RM3.6 bilion) pinjaman.

“Ini memberi keselesaan kepada rakyat Malaysia jika 1MDB dapat membuktikan keupayaannya membayar semula pinjaman.

“Ini kerana kali terakhir yang kita tahu, 1MDB meminta Tan Sri Ananda Krishnan menguruskan sekumpulan pelabur swasta untuk membantu membayar pinjaman tempatan RM2 bilion,” jelas Tony.

Akhbar Singapore Business Times sebelum ini melaporkan enam bank luar negara ‘mulai panik’ dengan kemelut 1MDB dan mula mempersoalkan status pinjaman USD1.103 bilion yang dibuat melalui anak syarikat 1MDB, Brazen Sky.

Bukan sekadar itu, pada 22 April lalu, portal Sarawak Report turut melaporkan akaun 1MDB di BSI Bank yang berpengkalan di Singapura hanya memiliki ‘kertas aset’ di mana ‘nilainya tidak boleh dikenal pasti’.

Arul bagaimanapun mengelak menjawab mengenai status hutang dengan beberapa bank tersebut, ketika ditanya portal berita Malaysian Insider dalam sebuah email dan memberi alasan kononnya ia melibatkan rahsia antara pihak syarikat dan bank.

“Spekulasi semakin kuat beredar. 1MDB gagal menangani persoalan utama dengan jujur ​​dan telus. Akibatnya, keyakinan dalam pasaran kewangan goncang dan Ringgit Malaysia terjejas.

“Penyembunyian maklumat terbesar ini yang menyebabkan rakyat hilang keyakinan, bukan hanya kepada pengurusan 1MDB bahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” ujar Tony lagi. – Roketkini.com