Berita

Jangan jadi bodoh, liberalisme bukan punca pedofilia

GEORGE TOWN, 15 MEI:DAP hari mengutuk tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyalahkan liberalisme sebagai penyebab merebaknya masalah pedofilia dalam negara.

Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid menegaskan, masalah pedofilia adalah gangguan mental yang tidak ada kena mengena dengan orientasi seksual.

“Ia bukanlah pilihan gaya hidup,” katanya hari ini.

Ketika melancarkan Institut Wasatiyyah di kediaman rasminya di Putrajaya semalam Najib mendakwa liberalisme mengancam umat Islam.

Satu daripada kesan kepada fahaman itu, menurut Najib, ialah masalah menjijikkan seperti pedofilia.

Kata Syerleena, ancaman sebenar bukanlah liberalisme sebaliknya penerimaan doktrin tidak berasas yang langsung tidak menyumbang kepada pembangunan sosial.

“Terdapat garis halus antara keberanian dan kebodohan. Semalam Najib telah melintasi garis itu.

“Dengan berani beliau memandang permasalahan pedofilia dengan menyalahkan liberalisme dan merujuk kepada kes Nur Fitri Azmeer Nordin untuk membuktikan kenyataannya,” kata Syerleena.

Tegas Syerleena, dakwaan Najib sama sekali tidak berasas kerana beliau sendiri adalah produk dari sistem pendidikan di United Kingdom yang lazim dengan persekitaran liberalisme.

“Najib belajar di Malvern College dan University of Nottingham.

“Dia menghabiskan sejumlam besar hidupnya dalam persekitaran dikelilingi liberalisme di bawah nama humanisme, sekularisme, liberalisme dan hak asasi manusia.

“Adakah Najib sedang mengutuk dirinya sendiri?” soalnya.

Menurut beliau, dakwaan Najib juga jelas mencerminkan realiti semasa menunjukkan tidak ramai menteri memahami kemanusiaan, yang sebenarnya selaras dengan ajaran Islam.

“Sebagai perdana menteri sebuah negara berbilang agama dan budaya dengan lebih 23 juta rakyat, Najib sepatutnya menunjukkan contoh yang baik dan bukannya mengulangi kenyataan fanatik keterlaluan yang memuntahkan pembohongan serta pandangan melampau,” katanya. -Roketkini.com