Berita

Syarat pengecualian GST untuk OKU menyusahkan

PUCHONG, 15 MEI: Kerajaan perlu mengecualikan terus orang kelainan upaya (OKU) daripada sebarang cukai barangan dan perkhidmatan (GST), bukannya mengelirukan mereka, kata ADUN Kinrara Ng Sze Han.

Kata Ng, masih ramai golongan OKU tidak tahu ada peruntukan mengenai pengecualian GST untuk mereka.

Malah, katanya, kebanyakan kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang dihubungi gagal memberi maklumat yang jelas atau nasihat apabila ditanya.

“Mengapa mesti proses tersebut begitu rumit hingga menyebabkan kekeliruan dan menyusahkan mereka?” katanya.

Ng mengulas kenyataan Pengarah Bahagian Cukai Dalam Negeri KDRM, Datuk Subramaniam Tholasy baru-baru ini yang menyatakan ramai warga OKU tidak menyedari terdapat peruntukan bantuan barangan melalui Perintah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Pelepasan) 2014.

Antara barangan yang dikecualikan ialah anggota badan palsu, kerusi roda, katil elektrik atau mekanikal boleh laras untuk OKU.

Namun untuk mendapat pengecualian GST, OKU perlu mengemukakan perakuan ditandatangani ketua pertubuhan amal swasta yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mempersoalkan tindakan itu, Ng yang juga Bendahari DAP Selangor menegaskan, tidak ada keperluan untuk OKU berbuat demikian kerana ia ternyata lebih menyusahkan mereka.

“Ada ramai individu OKU yang bukan menganggotai mana-mana pertubuhan berdaftar dengan JKM, terutama di kawasan luar bandar.

“Bagaimana Subramaniam inginkan seseorang yang menghadapi masalah pergerakan melakukan perjalanan hanya untuk mendapatkan tandatangan?” soalnya. – Roketkini.com