Berita

Sekat ekonomi Myanmar demi Rohingya

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia dicadangkan untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Myanmar kerana jelas telah melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia masyarakat Rohingya.

Dalam kenyataan bersama ahli jawatankuasa DAPSY Kebangsaan Dyana Sofya Mohd Daud dan Ketua Biro Antarabangsa, Wong Kah Woh, sayap parti itu turut menggesa satu mesyuarat tergempar ASEAN bagi membincangkan krisis tersebut.

“Ini adalah krisis kemanusiaan yang begitu hampir dengan Malaysia dan melibatkan ahli ASEAN sendiri.

“Tambahan dengan itu, kerajaan Malaysia bersama negara-negara ASEAN yang lain untuk membuat kata putus dengan menggesa Myanmar bertanggungjawab dan menghentikan krisis etnik di negara itu.

“Atau kenakan sekatan ekonomi kerana mereka jelas telah melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia,” kenyataan tersebut dipetik.

Ahad lepas, difahamkan seramai 1,158 warga Bangladesh dan etnik Rohingya dari Myanmar tiba dengan bot di Langkawi.

Manakala UNHCR melaporkan, antara 5,000 hingga 6,000 lagi warga Bangladesh dan Rohingya sedang menunggu masa sesuai untuk belayar ke Malaysia.

Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon dalam kenyataannya hari ini melahirkan rasa terkejut atas tindakan beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia menghalau ribuan pelarian Rohingya yang tersadai di antara Laut Andaman dan Selat Melaka itu.

Justeru itu, DAPSY menggesa kerajaan yang mempengerusikan ASEAN Intergovermental Community on Human Rights (AICHR) untuk memulakan inisiatif berkesan dalam menangani isu ini.

“Pelarian sentiasa dilanda ketakutan walaupun sepatutnya dilindungi di bawah status ‘pelarian’ UNHCR.

“Ini kerana Malaysia tidak mengiktiraf status mereka sebagai pelarian, sebaliknya sebagai pendatang tanpa dokumen dan tertakluk dengan Akta Imigresen.

“Mereka sering kali disalah tangkap oleh pihak berkuasa dan dianggap sebagai pendatang tanpa izin walaupun menunjukkan dokumen pelarian sah yang dikeluarkan UN.

“DAPSY menggesa kerajaan menambahbaik layanan terhadap pelarian di Malaysia supaya pergerakan mereka terkawal, hak asasi dihormati dan membanteras penindasan terhadap golongan tidak bernasib baik ini,” tegas kenyataan tersebut. – Roketkini.com