Berita

Jangan main-main, Najib

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Realiti krisis dialami 1MDB semakin mengerikan apabila hari ini perdana menteri sendiri mengesahkan tiada wang tunai dibawa pulang dari Pulau Cayman seperti yang dikatakan sebelum ini.

Malah berdasarkan kenyataan di parlimen, Datuk Seri Najib Razak mendakwa wang berkenaan tidak disimpan di bank Singapura, sebaliknya hanya baki pelaburan ditebus dalam bentuk asset.

Ia didakwa disimpan sebuah bank di Singapura namun nama institusi kewangan itu tidak dinyatakan.

tony_puaMengulas perkembangan itu Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua (gambar) berkata, pendedahan itu sangat mengejutkan.

“Ia juga mengesahkan bahawa tiada wang tunai dibawa balik oleh 1MDB dari Pulau Cayman.

“Maksudnya tiada wang tunai yang disimpan di Singapura, tapi hanya ada aset. Aset ini pula hanya paper asset (aset kertas),” katanya di sidang media di lobi parlimen hari ini.

Pua juga menyifatkan pelaburan yang digembar-gemburkan Putrajaya sebelum ini di Pulau Cayman adalah mengarut, malah nilai aset tersebut juga tidak diketahui.

“Apakah nilai sebenarnya, kita tidak tahu. Bermakna 1MDB hanya membuat pemindahan kertas dari Pulau Cayman ke Singapura,” katanya.

Dalam jawapan di parlimen, Najib juga menjelaskan, baki pelaburan yang ditebus oleh 1MDB  disimpan dalam bentuk aset dalam mata wang dolar AS di sebuah bank di Singapura untuk mengimbangi liabiliti mata wang berkenaan.

Kata Najib, bank itu adalah “penjaga bagi pihak 1MDB”.

Tony kemudian mengecam Putrajaya kerana “menipu” kerana pernah mengakui wang dari Pulau Cayman didakwa dibawa pulang dan disimpan di Singapura.

Pengakuan itu dibuat pada 10 Mac lalu.

“1MDB perlu member penjelasan kerana selama ini kita diberitahu ada wang di Pulau Cayman, tapi pendedahan hari ini menunjukkan kita semua ditipu,” kata Tony. – Roketkini.