Berita

5 janji tak tertunai PRK Teluk Intan

TELUK INTAN, 31 MEI: Selepas genap setahun pilihan raya kecil (PRK), BN masih gagal melaksana manifesto pilihan raya yang dijanjikan kepada pengundi Teluk Intan.

Calon DAP dalam pilihan raya kecil itu, Dyana Sofya Mohd Daud berkata, penduduk dan pengundi Teluk Intan ingin tahu status terbaru pelbagai pelan pembangunan yang dijanjikan.

Lima janji manis BN itu adalah penambahbaikan kemudahan jalur lebar dan zon wifi, pembinaan sebuah universiti, menjadikan Teluk Intan hab pertanian moden, rancangan tebatan Banjir Teluk Intan dengan anggaran kos RM360 juta dan taraf tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Saya berharap supaya manifesto itu bukan hanya janji tinggal janji,” kata Dyana dalam kenyataannya hari ini.

Dyana menggesa Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menjawab janji kerajaan untuk menyediakan infrastruktur asas jalur lebar di kawasan terlibat.

“Walaupun Teluk Intan disenaraikan di dalam laman TMNet sebagai zon Unifi, tinjauan mendapati perkhidmatan tersebut masih belum wujud

“Adakah penyediaan infrastruktur tersebut telah dimulakan dan apakah usaha yang telah dilakukan untuk menepati janji ini? soalnya.

Merujuk janji pembinaan universiti, Dyana berkata sehingga kini, lot tanah yang dikatakan dikenalpasti untuk pembinaannya masih belum diwartakan dan masih di bawah nama sebuah syarikat tersenarai awam.

“Sebelum ini, penekanan ke arah pendidikan melalui manifesto tersebut dikatakan bakal mengubah wajah bandar Teluk Intan.

“Namun sampai sekarang, penduduk masih menunggu untuk mendengar pelan terperinci dan apakah manfaat kemajuan dan pembagunan yang bakal dibawa,” katanya.

Sementara itu, jawapan kerajaan Perak pada Disember 2014 menyatakan tiada cadangan menjadikan Teluk Intan sebagai hab pertanian moden, sekaligus menafikan janji calon BN yang kini menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Jadi, bagaimanakah Teluk Intan boleh dijadikan hab pertanian moden seperti yang telah dijanjikan? soal Dyana.

Menyentuh rancangan tebatan banjir bernilai RM360 juta di daerah ini, kata Dyana RM30 juta telah diluluskan untuk memulakan projek tersebut, namun garis masa secara keseluruhannya belum dibentangkan.

“Bila baki peruntukan RM330 juta akan diserahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran?” soal Dyana.

Dalam pada itu, cadangan menjadikan menara jam condong Teluk Intan dalam manifesto PRK BN sebagai tapak Warisan Dunia UNIESCO bukan perkara baru.

Ini kerana pada Mei 2012, Datuk Seri Rais Yatim selaku Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan telah mengisytiharkannya sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan.

“Setahun selepas pilihan raya kecil Teluk Intan, banyak dolak-dalik telah berlaku dalam pelaksanaan manifesto Barisan Nasional,” ujar Dyana.

PRK Teluk Intan diadakan pada 31 Mei tahun lalu berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser.

Presiden Gerakan yang mewakili BN, Datuk Mah Siew Keong menang tipis dengan majoriti 238 undi. – Roketkini.com