Berita, Isu Semasa

Najib ajak Dr Mahathir berdebat tapi secara tertutup

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Selepas gagal tampil dalam sesi dialog Nothing2Hide pada minggu lalu, hari ini perdana menteri ‘muncul’ menjelaskan apa yang berlaku pada hari berkenaan.

Bagaimanapun kemunculan Datuk Seri Najib Razak bukanlah dalam bentuk fizikal, sebaliknya membuat kenyataan di blog rasminya.

Najib & Tun Mahathir

Najib vs Mahathir?

Najib – yang mendakwa berdarah pahlawan – hari ini menunujukkan keberaniannya apabila mengajar  Tun  Dr Mahathir Mohamad berdebat mengenai apa saja isu yang dirasakan ingin diketahui.

Cuma bagi Najib, debat secara terbuka bukanlah wadah yang terbaik untuk menyelesaikan isu  berkenaan.

Najib berkata, beliau sedia menjawab segala pertanyaan Dr Mahathir namun ia tidak perlu dijalankan  secara terbuka “demi menjaga kredibiliti bersama”.

“Sebagai seorang perdana menteri, memang tidak wajar untuk debat seperti ini diadakan secara terbuka  di khalayak ramai dengan bekas perdana menteri dan dari parti politik yang sama.

“Saya sebagai perdana menteri dan Presiden UMNO saya bertanggungjawab menjaga nama baik kerajaan dan parti,” katanya.

Berdasarkan kenyataan itu dapat difahami bahawa Najib mengajak Dr Mahathir berdebat secara tertutup.

Dalam kenyataan sama, Najib turut menyatakan kekesalannya ekoran sesi dialog bersama pertubuhan bukan kerajaan pada 19 Mei lalu dibatalkan “atas nasihat polis”.

Kata Najib, beliau sudah menyatakan kesudian untuk berdialog dengan badan-badan NGO.

“Bagaimanapun, saya akan terus menyampaikan maklumat dalam apa jua cara yang baik dan berhemah,” ujarnya. – Roketkini.com