Berita

Dapat RM23 bilion tapi katil belum cukup

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Meskipun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi peruntukan RM23 bilion berbanding RM22 bilion pada 2014, masalah kekurangan katil di hospital masih berlaku, kata Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar.

Ujarnya, peningkatan peruntukan sebanyak RM1.15 bilion itu terbukti belum dapat mengatasi kelemahan pengurusan hospital

Dalam keadaan begitu pun, kata Sivakumar, KKM masih sering berbangga dengan tahap perkhidmatan kesihatan yang mereka berikan kepada rakyat Malaysia.

“KKM tidak patut menafikan kelemahan ini dan perlu memperbaiki mutu perkhidmatan demi kepentingan rakyat.,” kata Sivakumar dalam kenyatannya hari ini.

Beliau turut menyenaraikan beberapa masalah berulang yang tetap gagal ditangani.

Antaranya, kata Sivakumar, masa menunggu terlalu lama untuk berjumpa doktor di klinik pesakit luar, kesukaran membuat janji temu doktor pakar dan kesesakan di unit kecemasan sepanjang hari.

“Ini disebabkan terlalu ramai pesakit, tetapi bilangan doktor yang kurang,” ujarnya.

Kata Sivakumar, tidak patut dilupakan ialah kekurangan ambulans di hospital tertentu serta kekurangan katil menyebabkan kelewatan mendaftar untuk masuk ke wad.

“Sering kali, pesakit dibenarkan keluar hospital walaupun belum sembuh sepenuhnya,” kata Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu.

Tambahnya, pembinaan hospital dan klinik kesihatan baru di kawasan kepadatan tinggi perlu seimbang dengan jumlah kakitangan yang mencukupi.

“Rakyat mengharapkan supaya mutu perkhidmatan kesihatan kerajaan dapat diperbaiki sejajar dengan negara-negara maju. – Roketkini.com