Berita, Isu Semasa

Penduduk mohon masjid, DAP tawar sumbangan

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Gabungan Impian Kelantan (GIK) dalam kenyataan rasmi hari ini mengatakan tawaran pembinaan masjid oleh pihak Impian Kelantan hanyalah reaksi spontan.

Reaksi Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke itu dibuat berikutan aduan daripada imam masjid kampung Pasir Tumboh yang menyebut bahawa bantuan kewangan masih diperlukan bagi membaiki masjid yang rosak teruk akibat banjir Disember lalu.

Menurut Setiausaha GIK Dr Rosli Allani Abdul Kadir, Anthony bagaimanapun mengatakan pembinaan masjid itu tetap bergantung kepada penerimaan masyarakat setempat dan persoalan hukum yang timbul sekiranya tawaran itu diterima.

“Ini menunjukkan sensitiviti yang cuba dijaga pihak DAP.

“DAP ingin menekankan bantuan kemanusiaan itu merentasi sempadan politik dan apa juga pemisah yang ditimbulkan.

“Apatah lagi wang yang ingin disalurkan itu adalah daripada kutipan derma orang ramai dan tidak melibatkan sebarang sumber haram termasuk judi,” jelas Dr Rosli.

Kelmarin, DAP melalui Anthony telah menyatakan kesediaan membantu dalam pembinaan masjid di Kampung Pasir Tumboh demi keselesaan penduduk kampung beribadah dalam suasana selesa menjelang Ramadan tidak lama lagi.

GIK bagaimanapun, menjelaskan sudah ada peruntukan dalam usaha membaiki masjid berkenaan dari sumber lain hasil sumbangan orang ramai. – Roketkini.com