Berita, Isu Semasa

Tony Pua: FGVH mesti batal pembelian EHP

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua mendesak Felda Global Venture Holdings Bhd (FGVH) membatalkan penguasaan sebuah syarikat Indonesia yang dibeli pada harga melampau.

Syarikat Eagle High Plantations (EHP) dimiliki PT Rajawali Capita baru-baru ini dilaporkan akan dibeli FGV melebihi 77 peratus daripada harga pasarannya.

Malahan menurut Tony, selain harga itu melampau, EHP juga terkenal sebagai sebuah syarikat perladangan yang gagal menjual stok sahamnya sejak Julai 2012.

“Sehingga kini tidak ada sebuah badan pelaburan pun memberikan laporan yang positif mengenai syarikat itu,” katanya.

Bahkan Maybank Research (badan kajian Maybank Investment Bank Bhd) mengatakan FGVH tidak akan dapat memiliki syarikat itu secara penuh kerana majoriti saham EHP tetap dipegang PT Rajawali Capita walaupun FGVH memiliki 37 peratus saham syarikat itu.

Sebelum ini, FGVH dilaporkan mengalami kerugian kerana harga sahamnya yang jatuh.

Justeru Tony menggesa Ahli Lembaga Pengarah FGVH segera membatalkan perjanjian dengan PT Rajawali bagi mengelakkan kerugian terus menghantui syarikat berkenaan.

“Prestasi FGVH merosakkan reputasi Perdana Menteri Najib Tun Razak dan Kabinet yang memberi sokongan, selain menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada peneroka Felda yang dipujuk untuk melabur dalam FGVH .

“Jadi, atas kepentingan awam dan pemilikan saham kerajaan dalam FGVH, lembaga pengarah FGVH harus segera batalkan perjanjian itu dengan menamatkan perjanjian dengan Rajawali untuk memperolehi EHP.

“Ini demi mengelakkan kerugian kepada pelabur termasuk FELDA, KWSP, KWAP, Lembaga Tabung Haji dan kerajaan-kerajaan negeri,” katanya..- Roketkini.com